Kolaborasi Agung UMNO: Antara Penyatuan Melayu-Islam dan realiti politik Perpaduan
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Oleh: Shahbudin Embun
ULASAN: Cadangan UMNO untuk membentuk satu grand collaboration atau kolaborasi agung yang menghimpunkan parti-parti politik Melayu dan Islam telah membuka satu lembaran baharu dalam landskap politik negara.
Cadangan ini bukan sekadar isyarat strategik, tetapi mencerminkan kesedaran UMNO terhadap keperluan penyatuan kuasa politik Melayu-Islam dalam suasana politik hari ini yang semakin mencabar dan penuh dengan teka teki dan persepsi. Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, secara terbuka mengemukakan cadangan tersebut ketika menggulung ucapan dasar di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025.
Penegasan beliau bahawa inisiatif ini tidak bertujuan menggugat Kerajaan Perpaduan yang sedia ada adalah satu mesej politik yang penting, khususnya bagi menenangkan rakan gabungan kerajaan dan mengelakkan tafsiran negatif terhadap niat UMNO.
Kenyataan diplomatik UMNO
Kenyataan “Perdana Menteri jangan risau” bukan sahaja bersifat diplomatik, malah mencerminkan kesedaran UMNO terhadap sensitiviti politik semasa. Dalam konteks pasca pilihan raya, sebarang cadangan penyatuan Melayu-Islam mudah ditafsir sebagai usaha membentuk pakatan alternatif atau cubaan mengulangi episod “tebuk atap”.

Justeru, penegasan Ahmad Zahid bahawa kolaborasi ini berasaskan keikhlasan dan agenda penyatuan, bukan perebutan kuasa, adalah langkah berhati-hati yang strategik.
Dari sudut ideologi, gagasan kolaborasi agung ini boleh dibaca sebagai usaha mengembalikan naratif perjuangan Melayu dan Islam ke dalam satu kerangka besar yang lebih tersusun.
UMNO dilihat mahu memainkan peranan sebagai pemudah cara (bridge builder), bukan dominator, dengan jaminan bahawa parti-parti lain tidak perlu membubarkan identiti atau struktur masing-masing. Pendekatan “bersama secara tidak rasmi” sebagai langkah awal memperlihatkan sifat inklusif dan fleksibel, berbeza dengan pendekatan penggabungan mutlak yang sering mencetuskan penolakan.
Secara keseluruhan, cadangan kolaborasi agung ini mencerminkan usaha UMNO untuk menyesuaikan diri dengan realiti politik baharu—politik konsensus, rundingan dan penyatuan. Sama ada gagasan ini akan menjadi realiti atau sekadar retorik politik, ia bergantung kepada keupayaan UMNO meyakinkan rakan dan pesaing bahawa penyatuan ini benar-benar demi kepentingan agama, bangsa dan kestabilan negara, bukan semata-mata strategi kelangsungan politik.
Kembali kepada UMNO
Selain itu, PAU 2025 juga menjadi pentas kepada pelbagai suara akar umbi dalam parti termasuk pandangan yang tegas daripada sayap Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO untuk mempertahankan nilai parti serta membawa cadangan-cadangan yang membina demi masa depan parti.
Penulis juga tertarik dengan isu permohonan mereka yang ingin kembali menyertai UMNO. Menurut Setiausaha Agung UMNO, memang terdapat banyak permohonan daripada pihak yang ingin kembali menyertai UMNO, tetapi keputusan muktamad akan ditentukan berdasarkan resolusi PAU. Ini menunjukkan wujudnya minat dari luar parti untuk kembali bersama UMNO dalam konteks politik semasa.
Hala tuju politik Melayu
Selain itu, PAU 2025 mencatatkan penglibatan tinggi daripada perwakilan seluruh negara dengan 662 usul diterima daripada 175 bahagian UMNO, mencerminkan aktifnya perbahasan dalam isu politik, agama, pendidikan dan ekonomi yang menjadi keprihatinan anggota parti.
Apa yang jelas, PAU 2025 bukan sekadar perhimpunan tahunan; ia menjadi satu platform strategik kepada UMNO untuk merangka hala tuju politik dalam era gabungan, membina naratif Melayu-Islam yang lebih relevan dan membuka ruang penyatuan bersama parti-parti lain tanpa mengganggu kestabilan kerajaan semasa. Ia juga menunjukkan wujudnya kesedaran bahawa perubahan dalaman dan penjenamaan baharu menjadi kunci bagi memastikan UMNO kekal relevan dalam politik Malaysia yang terus dinamik.
Penulis merupakan penganalisis politik dan Pengerusi Biro Kepimpinan Dan Pentadbiran Negara MPM









Comments