Malaysia berpotensi luaskan eksport makanan ke Vietnam - Mohamad Sabu
- Helmi Mohd Foad

- Apr 23
- 1 min read

Malaysia mempunyai peluang cerah untuk menembusi pasaran antarabangsa khususnya Vietnam, susulan peningkatan permintaan terhadap produk makanan berkualiti, premium dan bernilai tambah di negara itu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata tinjauan dilakukannya di Dong Xuan Market, Hanoi memberi gambaran jelas mengenai keperluan asas rakyat dengan pergerakan produk makanan dan hasil pertanian dalam skala besar.
"Pasaran ini menunjukkan permintaan terhadap bekalan makanan adalah konsisten dan tinggi merangkumi beras, hasil laut, buah-buahan hingga makanan harian.
"Keadaan ini membuka peluang kepada Malaysia untuk memperluaskan eksport produk makanan khususnya yang berkualiti dan mempunyai nilai tambah," katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Mohamad berkata tinjauan di Lotte Mall West Lake pula memperlihatkan perubahan gaya hidup masyarakat bandar yang semakin moden dengan peningkatan permintaan terhadap produk import, premium dan berjenama.
Katanya, perkembangan itu menjadi isyarat positif bahawa produk Malaysia berpotensi besar menembusi pasaran Vietnam sekiranya dipasarkan mengikut standard antarabangsa serta pembungkusan yang menarik.
Dalam pada itu, beliau berkata, ketika dunia berdepan krisis bekalan global, Malaysia perlu sentiasa memahami perkembangan pasaran serantau bagi menjamin kelangsungan rantaian bekalan makanan negara.
Beliau berkata Vietnam merupakan antara rakan dagang penting Malaysia dalam ASEAN dan kerjasama dua hala perlu terus diperkasakan terutama dalam aspek sekuriti makanan, perdagangan serta perkongsian kepakaran sektor pertanian.
"Kita tidak boleh bergantung kepada satu sumber sahaja, sebaliknya perlu mempelbagaikan rantaian bekalan serta memperkukuh hubungan dagang dengan negara rakan seperti Vietnam," katanya.




Comments