Malaysia bantah perairan negara menjadi laluan pertahanan tanpa izin
- Suara Keadilan

- Oct 15, 2024
- 2 min read

Malaysia akan terus menegur dan membantah jika perairan negara di Laut China Selatan digunakan sebagai laluan pertahanan tanpa izin, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, penegasan Malaysia itu dinyatakan dalam Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-27 di Laos pada Khamis lalu.
Menurutnya, selain China, Malaysia turut mempunyai pertikaian wilayah dengan beberapa negara lain termasuk Thailand, Filipina, dan Indonesia namun isu itu tidak menjejaskan hubungan diplomatik dan perdagangan.
"Sebab itu kita kurang setuju apabila permasalahan, pertelingkahan sempadan hanya dirujuk kepada satu negara, umpamanya China, padahal kita mempunyai masalah (dengan pelbagai negara).
"Masalah ini tidak menjejaskan hubungan diplomatic, perdagangan dan persahabatan akrab dengan jiran-jiran.
"Kita akan terus menegur serta membantah sekiranya perairan kita digunakan sebagai laluan pertahanan tanpa izin," kata Anwar pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berhubung gesaan ASEAN untuk rumusan awal Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan dan isu kebocoran maklumat membabitkan Nota Diplomatik dari Republik Rakyat China (PRC) kepada Kedutaan Besar Malaysia di Beijing.
Menurut Anwar, semua pertikaian perlu melalui rundingan atau dialog seperti yang termaktub dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.
"Ia kerana perjanjian PBB itu mengikat semua dan saya lihat reaksi daripada negara China adalah bersetuju (dengan) penyelesaian mengikut kerangka UNCLOS," ujarnya.
Kata Anwar, meskipun mengamalkan prinsip menjalin kerjasama dengan rakan dialog ASEAN, Malaysia kekal tidak berganjak dari tuntutan dan pendirian tentang kawasan milik negara.
Justeru itu, kata beliau Petroliam Nasional Berhad (Petronas) akan meneruskan aktiviti penerokaan minyak dan gas di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara itu di Laut China Selatan walaupun mendapat bantahan daripada China.
"Kita dari segi Malaysia, tak berganjak pendirian kita tentang kawasan milik Malaysia. Sebab itu cari gali minyak oleh Petronas termasuk di kawasan Kasawari, diteruskan
"Walaupun dibangkitkan oleh China, kita akan teruskan tetapi tidak pernah menutup ruang untuk berbincang dengan mana-mana negara," katanya.
Bulan lepas, Anwar berkata aktiviti cari gali minyak oleh Malaysia dalam perairan negara itu di Laut China Selatan tidak bertujuan untuk mencetuskan provokasi terhadap China dengan merujuk kepada kebocoran nota diplomatik dari Beijing yang mendakwa penerokaan minyak dan gas Malaysia melanggar wilayah China.
China mendakwa hampir keseluruhan Laut China Selatan sebagai miliknya hingga mencetuskan ketegangan dengan beberapa negara ASEAN termasuk Malaysia, Brunei, Filipina dan Vietnam.
Republik itu turut menolak keputusan Mahkamah Tetap Timbang Tara di Hague pada 2016 yang menyatakan tuntutan Beijing ke atas Laut China Selatan tidak mempunyai asas di bawah undang-undang antarabangsa.









Comments