Malaysia, Bangladesh perkukuh kerjasama buruh, hubungan dua hala
- Suara Keadilan
- 2 minutes ago
- 1 min read

Malaysia dan Bangladesh terus memperkukuh hubungan dua hala, khususnya dalam aspek tenaga kerja dan kepentingan bersama, susulan pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan delegasi negara itu hari ini.
Delegasi Bangladesh diketuai Menteri Buruh dan Pekerjaan, Ariful Haque Choudhury bersama Penasihat kepada Perdana Menteri Bangladesh, Mahdi Amin.
Anwar berkata, pertemuan tersebut memberi ruang membincangkan pelbagai aspek kerjasama termasuk isu berkaitan pekerja asing dan hubungan strategik antara kedua-dua negara.
"Saya ulangi ucapan tahniah kepada Tarique Rahman yang dilantik sebagai Perdana Menteri Bangladesh pada 17 Februari lalu, dan sekali lagi mengulangi jemputan agar beliau berkunjung ke Malaysia dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, lawatan itu penting bagi memperkukuh lagi hubungan dua hala yang sedia erat antara Malaysia dan Bangladesh.
Menyentuh kerjasama buruh, Anwar menegaskan komitmen Malaysia untuk terus menjaga kebajikan pekerja Bangladesh yang bekerja di negara ini.
"Malaysia komited melindungi kebajikan ratusan ribu pekerja Bangladesh, khususnya dalam sektor pembinaan dan pembuatan," katanya.
Dalam masa sama, beliau menekankan keperluan untuk mengurangkan kos pengambilan pekerja asing yang dilihat membebankan.
"Pada masa sama, saya tegaskan keperluan untuk mengurangkan kos pengambilan pekerja asing, serta meminta Kerajaan Bangladesh mempertimbang langkah mengurangkan kos ini demi kesejahteraan pekerja," katanya.
Anwar turut menyatakan keyakinan bahawa hubungan Malaysia-Bangladesh akan terus diperkukuh berasaskan kepercayaan dan manfaat bersama.
"Insya-Allah, persahabatan Malaysia-Bangladesh akan terus berkembang dengan lebih kukuh," katanya.
