top of page

Peningkatan Pemberian Khas pengiktirafan hak, kedudukan Sabah - Abun

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 6 days ago
  • 2 min read

Pengumuman peningkatan Pemberian Khas Interim kepada Wilayah Sabah oleh Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion disambut baik oleh Senator Dewan Negara dari Sarawak.


Abun Sui Anyit (gambar) berkata, pengumuman tersebut bukan sekadar melibatkan aspek kewangan sebaliknya mencerminkan pengiktirafan terhadap kedudukan dan hak Sabah dalam Persekutuan Malaysia.


"Sebagai anak Borneo dan rakyat Malaysia, walaupun saya bukan rakyat Sabah, saya merasai kegembiraan dan rasa syukur atas berita yang amat bermakna ini.


"Bagi saya, pengumuman tersebut bukan sekadar angka atau peruntukan kewangan tetapi merupakan satu pengiktirafan terhadap hak, sumbangan dan kedudukan Sabah dalam Persekutuan Malaysia," kata Abun dalam kenyataan hari ini.


Menurut beliau, pengumuman yang dibuat sempena sambutan Pesta Kaamatan 2026 itu memberi makna besar kepada rakyat Sabah yang sekian lama menantikan usaha memperkukuh kedudukan kewangan negeri selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963.


Tambah Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang itu, komitmen Kerajaan MADANI untuk terus mencari penyelesaian terbaik berkaitan tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah pula memberi harapan baharu terhadap hubungan yang lebih baik antara Persekutuan dan negeri.


"Langkah ini memberi harapan bahawa hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri Sabah akan terus diperkukuhkan berasaskan prinsip keadilan, saling menghormati dan semangat perkongsian yang menjadi asas pembentukan Malaysia," katanya.


Beliau turut menegaskan bahawa setiap usaha yang membawa pembangunan lebih pesat, peluang ekonomi yang luas serta pengagihan hasil yang lebih adil wajar disokong semua pihak.


"Sebagai anak Borneo, saya memahami aspirasi rakyat Sabah yang selama ini mengharapkan pembangunan yang lebih pesat, kemudahan asas yang lebih baik, peluang ekonomi yang lebih luas dan pengagihan hasil yang lebih adil.


"Oleh itu, setiap langkah yang membawa Sabah lebih dekat kepada matlamat tersebut wajar dihargai dan disokong," ujarnya.


Dalam pada itu, beliau juga mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Kaamatan kepada seluruh rakyat Sabah.


"Semoga sambutan Kaamatan tahun ini membawa keberkatan, perpaduan dan harapan baharu kepada seluruh rakyat negeri di bawah bayu," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page