Mahkamah benar injunksi kaum Kenyah, Penan halang syarikat perladangan
- Akmal Manaf

- 4 hours ago
- 1 min read

Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak di Bintulu membenarkan permohonan injunksi interlokutori komuniti Kenyah dan Penan di Ulu Sungai Belaga, sekali gus menghalang sebuah syarikat perladangan dan lima defendan lain daripada meneruskan aktiviti di kawasan tanah adat yang dipertikaikan sehingga perbicaraan selesai.
Peguam bagi plaintif, Abun Sui Anyit berkata, mahkamah turut menolak permohonan syarikat perladangan itu untuk membatalkan tindakan saman yang difailkan plaintif, selain menolak permohonan Kerajaan Sarawak dan Superintendent of Lands and Surveys, Kapit Division untuk membuang tindakan tersebut.
"Ini bermakna, tuntutan plaintif akan diteruskan ke peringkat perbicaraan penuh, di mana semua pihak akan diberikan peluang mengemukakan bukti masing-masing.
"Saya berharap semua pihak, khususnya pihak syarikat, akan mematuhi sepenuhnya perintah Mahkamah dengan tidak meneruskan sebarang aktiviti yang melanggar injunksi atau menceroboh kawasan yang dipertikaikan oleh penduduk kampung," katanya menerusi satu kenyataan.
Abun yang juga Senator Dewan Negara menegaskan, perjuangan mempertahankan hak tanah adat perlu sentiasa dilakukan melalui saluran undang-undang dan dengan menghormati kedaulatan Mahkamah.
Susulan itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua anak guam atas kepercayaan yang diberikan dan kepada pasukan guaman yang telah bertungkus-lumus mengendalikan kes berkenaan.




Comments