Mahfuz bidas Hj Hadi: Minyak naik impak perang, bukan konspirasi kerajaan
- Azuan Ab Rahman

- 2 hours ago
- 2 min read

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar membidas kenyataan Presiden Pas, Hj Hadi Awang yang mendakwa kenaikan harga diesel di Semenanjung tidak sepatutnya berlaku.
Mahfuz menerusi satu kenyataan pada Rabu menegaskan, harga minyak negara ditentukan pasaran global dan Malaysia tidak kebal daripada impak geopolitik kerana sebahagian besar bekalan petroleum negara masih melalui laluan Selat Hormuz.
"Apabila berlaku ketegangan di laluan utama minyak dunia itu, bekalan global akan terganggu.
"Ini menyebabkan kos import meningkat, insurans perkapalan naik dan rantaian bekalan menjadi tidak stabil.
"Ini fakta asas ekonomi bukan teori politik. Malaysia tetap mengimport petroleum dan produk ditapis, bermakna negara tetap terikat kepada harga pasaran antarabangsa," katanya.
Hj Hadi menerusi tulisan dalam kolum ‘Minda Presiden Pas’ berkata, alasan mengaitkan kenaikan harga bahan api dengan ketegangan geopolitik di Timur Tengah termasuk isu sekatan Iran di Selat Hormuz, tidak sepatutnya dijadikan justifikasi kepada kenaikan harga bahan api itu terutama di Semenanjung.
Ahli Parlimen Marang itu menjustifikasi dakwaan tersebut dengan alasan Malaysia mempunyai sumber minyak dan gas sendiri, selain jaringan kerjasama dengan negara Islam lain yang kaya dengan sumber asli.
Sebagai rekod, walaupun Malaysia mempunyai sedikit sumber minyak, namun negara terpaksa mengimport minyak mentah bagi menampung keperluan bahan api tempatan.
Berdasarkan data tahun 2025, Malaysia mengeksport minyak mentah sekitar AS$5.5 bilion tetapi mengimport hampir AS$12.6 bilion. Sekali ganda daripada jumlah eksport.
Sementara itu, Mahfuz dalam kenyataan sama turut menegaskan bahawa Kerajaan MADANI menanggung beban subsidi besar dari sebelumnya bagi melindungi rakyat daripada kesan kenaikan harga pasaran dunia yang mendadak.
"Hakikatnya mudah, harga minyak naik kerana krisis global, bukan kerana konspirasi kerajaan.
"Semua pihak sepatutnya bertanggungjawab menyampaikan maklumat tepat, bukannya menangguk di air keruh dengan memainkan sentimen geopolitik untuk kepentingan politik sempit," tambahnya.




Comments