top of page

Mahasiswa terima bantuan Kerajaan N Sembilan teruja manifesto PH

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Seorang mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seremban 3, Afif Muqriz, 23, (gambar) menyifatkan tawaran dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan sebagai langkah yang mampu memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), khususnya daripada keluarga berpendapatan sederhana (M40).


Afif, yang kini mengikuti pengajian dalam jurusan Sains Sukan, berkata beliau menerima Bantuan Sambung Belajar ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) sebanyak RM1,000 ketika memasuki semester pertama.


Selain itu, beliau turut menerima Bantuan Sara Hidup IPTA sebanyak RM200 setiap bulan sejak semester pertama sehingga kini.


"Macam saya dapat bantuan ini sejak semester satu. Sekarang saya dah masuk semester tiga.


"Maka setiap bulan duit RM200 akan masuk secara automatik ke dalam akaun bank saya," kata Afif.


Menurut Afif, inisiatif yang diperkenalkan Kerajaan Negeri bukan sahaja membantu pelajar daripada keluarga B40, malah pembukaan syarat kelayakan kepada isi rumah M40 dengan pendapatan sehingga RM8,000 akan membolehkan lebih ramai mahasiswa menikmati manfaat tersebut.


Katanya, beliau mempunyai rakan-rakan yang berasal daripada keluarga dengan pendapatan sekitar RM4,100 hingga RM5,000 sebulan, namun masih berdepan tekanan kos sara hidup dan komitmen keluarga.


"Mengenali kawan-kawan saya agak lama, sebenarnya mereka pun bukan daripada keluarga yang senang.


"Ibu bapa masing-masing ada komitmen dan terkesan dengan kos sara hidup seperti keluarga saya juga," jelas Afif.


Beliau berkata, peluasan kelayakan itu akan membuka peluang kepada lebih ramai pelajar IPT yang benar-benar memerlukan bantuan kewangan bagi meneruskan pengajian.


"Apabila Manifesto Pakatan Harapan Negeri Sembilan ini mula membuka peluang kepada keluarga M40 yang bergaji seisi keluarga maksimum RM8,000, maka ia akan memberi lebih banyak kemudahan kepada pelajar IPT seperti saya," ujar beliau.


Mengulas keseluruhan manifesto berkenaan, Afif berpandangan tawaran yang dikemukakan memberi impak positif kepada golongan mahasiswa.


"Pada pandangan saya, tawaran Manifesto Pakatan Harapan Negeri Sembilan ini sangat membantu," katanya.


Beliau turut mengajak pengundi memberi sokongan kepada calon Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Negeri akan datang bagi memastikan manifesto yang dijanjikan dapat diteruskan.


Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) Negeri Sembilan akan diadakan pada 1 Ogos 2026 ini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page