top of page

MAHAR bayar elaun Jumaat lepas, warga Palestin tetap pilih berdemo

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 16 hours ago
  • 3 min read
Warga Palestin telah dibayar elaun bulanan dan tidak berbangkit isu kelewatan bayaran
Warga Palestin telah dibayar elaun bulanan dan tidak berbangkit isu kelewatan bayaran

Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) menjelaskan sebahagian elaun kepada warga Palestin yang dibawa ke Malaysia bagi mendapatkan rawatan perubatan telah disalurkan pada Jumaat lalu sebaik sahaja dana diterima daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), manakala bakinya diserahkan semalam selepas sesi taklimat khas bersama agensi kerajaan selesai diadakan.


MAHAR berkata pembayaran elaun itu dibuat sejurus dana diterima daripada MAIWP manakala penyerahan baki dilakukan selepas isu-isu berbangkit dijelaskan kepada kumpulan warga Palestin berkenaan dalam sesi taklimat yang melibatkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), MAIWP dan Kementerian Pertahanan di Asrama Starpac pada 28 Julai.


Menurut MAHAR, sesi taklimat itu diadakan bagi menerangkan kedudukan terkini serta hala tuju seterusnya berhubung penempatan dan rawatan mereka sepanjang berada di Malaysia.


"Berhubung elaun, sebahagian telah diserahkan pada Jumaat lepas sebaik sahaja dana diterima daripada MAIWP manakala baki elaun diserahkan pada hari ini setelah sesi taklimat selesai menjawab isu-isu berbangkit yang dibangkitkan oleh agensi-agensi berkaitan," katanya dalam kenyataan melalui Facebook.


Kenyataan itu dikeluarkan susulan demonstrasi sekumpulan warga Palestin di hadapan pejabat MAHAR tengah hari semalam dengan dakwaan mereka lewat menerima elaun sara hidup bulanan.


MAHAR menegaskan pihaknya hanyalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pelaksana yang diamanahkan membantu menjaga kebajikan warga Palestin bersama JAKIM, MAIWP dan Kementerian Pertahanan sejak ketibaan mereka di Malaysia untuk menerima rawatan perubatan.


Katanya semua keputusan berkaitan penempatan, rawatan, penghantaran pulang dan keperluan harian mereka dibuat secara bersama oleh agensi-agensi kerajaan terbabit dengan mengambil kira tempoh singkat keberadaan mereka di negara ini.


"MAHAR merupakan sebuah NGO pelaksana yang menjalankan misi kemanusiaan berdasarkan keputusan, dasar dan arahan yang ditetapkan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkaitan. MAHAR tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang keputusan dasar secara bersendirian.


"Semua keputusan yang berkaitan dengan isu ini terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa agensi-agensi kerajaan yang berkenaan. MAHAR akan terus patuh kepada sebarang arahan serta keputusan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tersebut," katanya.


Menurut MAHAR, ketika demonstrasi berlangsung, semua agensi berkaitan sebenarnya sedang mengadakan sesi taklimat khas di Asrama Starpac bagi menjelaskan perkembangan terkini kepada warga Palestin terbabit.


Bagaimanapun, katanya semua warga Palestin yang terlibat telah dijemput menghadiri sesi itu tetapi memilih untuk tidak hadir sebelum menuju ke pejabat MAHAR.


"MAHAR telah menjemput semua warga Palestin yang terlibat untuk hadir dan mendapatkan maklumat terkini serta keputusan selanjutnya tetapi mereka enggan hadir ke taklimat tersebut dan memutuskan untuk ke pejabat MAHAR," katanya.


MAHAR berkata pihaknya memahami kebimbangan dan tekanan emosi yang dihadapi warga Palestin berikutan ketidaktentuan masa depan mereka selepas melalui pengalaman peperangan dan konflik di negara asal.


Susulan itu jelasnya sesi taklimat bersama agensi kerajaan terus diadakan bagi memastikan setiap persoalan dan kebajikan mereka diberi perhatian sewajarnya.


"MAHAR sedar bahawa menunggu adalah sesuatu yang sukar, lebih-lebih lagi bagi mereka yang datang dari jauh, dalam keadaan yang tidak menentu, menantikan jawapan tentang masa depan mereka.


"Kami juga memahami kebimbangan ini dan itulah sebabnya sesi taklimat bersama agensi-agensi berkaitan terus diadakan bagi memastikan setiap soalan dan kebajikan mereka diberi perhatian sewajarnya," katanya.


Menurut MAHAR, rawatan yang sebelum ini dimulakan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan kini diteruskan di beberapa hospital di bawah Kementerian Kesihatan untuk pemeriksaan serta rawatan lanjut.


Pada masa sama, MAHAR memberi jaminan amanah menguruskan kebajikan warga Palestin sentiasa dilaksanakan secara telus dengan setiap perbelanjaan direkodkan, dilaporkan dan diaudit bersama MAIWP bagi setiap pusingan dana sejak Februari 2025.


"MAHAR terus komited dan teguh berdiri bersama warga Palestin ini serta bekerjasama rapat dengan semua agensi demi memastikan kebajikan mereka sentiasa terjaga sepanjang mereka berada di bumi Malaysia," katanya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page