top of page

M'sia–Turkmenistan perkukuh kerjasama strategik, meterai perjanjian tenaga

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jun 20
  • 2 min read
DS Anwar berucap pada forum disaksikan Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov, Foto: FB Anwar
DS Anwar berucap pada forum disaksikan Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov, Foto: FB Anwar

Malaysia dan Turkmenistan terus memperkukuh hubungan dua hala melalui pelbagai kerjasama strategik susulan Forum Malaysia-Turkmenistan yang menghimpunkan pemimpin industri serta komuniti perniagaan kedua-dua negara.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan antara kedua-dua negara kini berkembang merangkumi pelbagai bidang baharu yang berimpak tinggi.


"Hubungan Malaysia dan Turkmenistan hari ini telah berkembang jauh melangkaui sektor minyak dan gas, dengan komitmen memperluas kerjasama dalam bidang strategik termasuk pendidikan, TVET, kecerdasan buatan, semikonduktor dan pembangunan modal insan," katanya dalam muat naik di media sosial, semalam.


Beliau berkata demikian selepas menghadiri forum bersama Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov.


Menurut Anwar, tahun ini turut menandakan ulang tahun ke-30 kehadiran Petronas di Turkmenistan, yang menjadi bukti kejayaan kerjasama berasaskan perkongsian kepakaran dan pemindahan teknologi.


"Kejayaan ini membuktikan bahawa kerjasama yang diasaskan atas rasa hormat dan perkongsian kepakaran mampu melahirkan manfaat yang berkekalan kepada kedua-dua negara," katanya.


Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pemeteraian beberapa dokumen penting berkaitan sektor tenaga, termasuk Perjanjian Rangka Kerja bagi pembangunan sumber hidrokarbon Turkmenistan.


Turut dimeterai ialah Perjanjian Perkongsian Pengeluaran (PSA) bagi Blok 19 dan Blok 20 antara Petronas dan syarikat tenaga negara Turkmenistan, serta perjanjian kerjasama bagi pelaksanaan kajian seismik 2D untuk blok luar pesisir.


Anwar berkata, kesepakatan tersebut diyakini mampu membuka lembaran baharu dalam hubungan kedua-dua negara serta memperkukuh kerjasama dalam industri minyak dan gas.


"Saya yakin kesepakatan yang dicapai akan membuka lembaran baharu dalam hubungan kedua-dua negara, sekali gus menjadi contoh bagaimana Negara-Negara Selatan (Global South) dapat membina kerjasama yang saling menguntungkan demi kemajuan dan kemakmuran rakyat," katanya.


Forum yang dihadiri PM ini merupakan yang terakhir dalam rangka lawatan kerja beliau ke Rusia dan negara Asia Tengah yang bermula Isnin lalu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page