top of page

M'sia-Pakistan perkukuh kerjasama keselamatan, fokus jenayah rentas sempadan

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
3 hours ago
2 min read
Delegasi Malaysia dan Pakistan bertemu di China
Delegasi Malaysia dan Pakistan bertemu di China

Malaysia dan Pakistan bersetuju memperkukuh kerjasama keselamatan melalui penubuhan Joint Working Group antara Kementerian Dalam Negeri kedua-dua negara bagi menggerakkan agenda kerjasama dalam pelbagai bidang berkaitan dalam pertemuan bersama Menteri Dalam Negeri Pakistan, Senator Syed Mohsin Raza Naqvi, disela Global Public Security Cooperation Forum Lianyungang (GPSCFL) 2026 di China.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, antara bidang yang diberi tumpuan ialah keselamatan, kawalan narkotik, latihan kepolisan, pertukaran risikan serta kerjasama dalam bidang berkaitan.


"Pertemuan ini merupakan kesinambungan langsung daripada lawatan kerja rasmi saya ke Pakistan bulan lalu.


"Jika di Islamabad kita membina asas dan mencapai beberapa persefahaman penting, pertemuan kali ini memberi tumpuan kepada bagaimana persefahaman tersebut diterjemahkan kepada pelaksanaan dan hasil yang boleh diukur," katanya dalam muat naik di media sosial.

Saifuddin bersama  Syed Mohsin Raza
Saifuddin bersama  Syed Mohsin Raza

Beliau berkata, Malaysia juga bersedia menerima delegasi pertama Pakistan ke negara ini bagi meneruskan agenda kerjasama yang telah dikenal pasti.


Dalam perkembangan sama, Saifuddin berkata kedua-dua negara turut membincangkan pelaksanaan Perjanjian Pemindahan Antarabangsa Banduan (International Transfer of Prisoners Agreement) yang ditandatangani pada 21 Ogos lalu.


Katanya, Malaysia secara awal sudah mengenal pasti 52 banduan warga Pakistan yang berpotensi dipertimbangkan untuk pemindahan, tertakluk kepada syarat perjanjian serta proses individu yang ditetapkan.


"Tumpuan kini ialah mempercepat penyelarasan antara pegawai kedua-dua negara supaya perjanjian ini dapat dilaksanakan," katanya.


Menurutnya, Malaysia dan Pakistan turut bersetuju memperkukuh kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan agensi penguatkuasaan Pakistan dalam bidang latihan kepolisan, keselamatan siber dan digital, pemerdagangan orang serta siasatan kewangan.


Kerjasama itu turut merangkumi usaha memutuskan rangkaian jenayah rentas sempadan.


"Kerjasama langsung antara PDRM dan Anti-Narcotics Force (ANF) Pakistan juga akan diperkasakan, mengambil kira pengalaman kerjasama terdahulu dalam lebih 28 kes," katanya.


Saifuddin yang juga pemangku Timbalan Presiden KEADILAN berkata, pertemuan itu turut menyentuh ancaman keselamatan yang semakin berkembang, termasuk keganasan, rangkaian ekstremis, pembiayaan keganasan, jenayah siber dan jenayah rentas sempadan berasaskan teknologi.


"Dalam menghadapi ancaman yang bergerak pantas dan merentasi sempadan, pertukaran risikan, pembangunan kapasiti dan kerjasama operasi antara negara mesti bergerak sama pantas," katanya.


Beliau berkata hubungan Malaysia-Pakistan mempunyai asas yang kukuh dan keutamaan kini adalah memastikan setiap persefahaman diterjemahkan kepada pelaksanaan serta menghasilkan impak nyata terhadap keselamatan rakyat kedua-dua negara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page