'M'sia kembali dihormati dunia, mansuh AUKU tanda reformasi total dilaksanakan'
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 3 min read

Malaysia kini kembali mendapat penghormatan dan keyakinan di peringkat antarabangsa selepas empat tahun diterajui Perdana Menteri merangkap Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim (gambar).
Beliau berkata, pencapaian itu amat membanggakan selepas Malaysia sebelum ini terpalit dengan skandal kewangan berskala besar 1Malaysia Development Bhd yang menjejaskan reputasi negara di mata dunia.
"Empat tahun negara dipimpin oleh Datuk Seri Presiden, kita lihat pencapaian membanggakan. Dalam tempoh 10 tahun lalu negara kita dikenali seluruh dunia secara salah.
"Negara kecil tiba-tiba terkenal kerana negara ini terlibat dalam skandal kewangan yang paling besar di dunia," katanya dalam ucapan penggulungan Ketua Angkatan Muda KEADILAN di Konges Nasional KEADILAN 2026 di Melaka.
Menurut Kamil, kerajaan sejak itu berusaha memulihkan keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia melalui kepimpinan yang baik serta usaha berterusan memperkukuh ekonomi negara.
"Dalam tempoh itu kita lihat negara kita yang dahulunya terpalit insiden (skandal kewangan), hari ini di bawah kepimpinan Datuk Seri Presiden kembali dikenali dan dihormati di peringkat antarabangsa.
"Apakah ini sesuatu yang mudah? Tidak, kena kerja kuat dengan kepimpinan yang baik," katanya.
Kamil berkata perkembangan ekonomi semasa turut menunjukkan trend positif apabila pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2026 mencapai enam peratus, mengatasi unjuran awal Bank Negara Malaysia (BNM) sebanyak 5.8 peratus.
"Jumaat lalu Bank Negara Malaysia umum pertumbuhan ekonomi suku kedua negara kita melebihi unjuran asal yang ditetapkan BNM iaitu 5.8 peratus dan kita berjaya capai angka enam peratus," katanya.
Beliau berkata prestasi positif itu merupakan sebahagian daripada trend yang baik sejak tiga tahun lalu, meliputi bukan sahaja pertumbuhan ekonomi tetapi turut merangkumi pelaburan, inflasi, peluang pekerjaan dan kekuatan ringgit.
"Ini merupakan trend yang sangat baik, bermula 2023 hingga 2026. Bukan sekadar pertumbuhan ekonomi, pelaburan, inflasi, pekerjaan, kekuatan ringgit.
"Ini semua memberi keyakinan bukan sekadar rakyat tetapi dunia terus berikan kepercayaan kepada Malaysia," katanya.
Bagaimanapun, Kamil berkata kejayaan kerajaan perlu diterjemahkan kepada keyakinan rakyat yang akhirnya dinilai melalui peti undi.
"Keyakinan sokongan rakyat dinilai dari peti undi. Jadi persoalan besar yang kita perlu renungi ialah apakah kita telah benar-benar berjaya meyakinkan rakyat untuk memberikan kepercayaan (kepada kerajaan Pakatan Harapan).
"Ternyata dalam dua Pilihan Raya Negeri (Johor dan Negeri Sembilan) yang lalu tidak menyebelahi kita. Di mana salahnya?" katanya.
Dalam perkembangan sama, Kamil menyambut baik pengumuman Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), yang disifatkannya sebagai kemenangan penting buat mahasiswa dan anak muda.
Katanya, beliau bersama beberapa pemimpin muda lain termasuk Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Adam Adli Abdul Halim dan Ahli Parlimen Tan Kar Hing pernah melalui pengalaman sebagai mahasiswa yang berdepan dengan sistem yang dianggap tidak memberikan kebebasan kepada golongan muda.
"Semalam Presiden juga umumkan pengumuman yang sangat dekat dengan saya, Adam Adli, Tan Kar Hing dan lain-lain ketika kami menuntut di pengajian tinggi. Sebahagian kami merupakan mangsa satu sistem yang tidak adil, menekan atau tidak memberikan kebebasan kepada anak muda (sedekad lalu)," katanya.
Kamil menyifatkan pengumuman pemansuhan AUKU sebagai hasil perjuangan panjang mahasiswa selama lima dekad yang tidak berputus asa memperjuangkan kebebasan universiti dan kebebasan akademik.
"Alhamdulillah semalam pengumuman yang dibuat DS Presiden itu kemenangan untuk mahasiswa dan anak muda yang selama ini tanpa jemu, putus asa menuntut kebebasan universiti dan kebebasan akademik," katanya.
Menurut beliau, perjuangan puluhan tahun itu turut membuktikan bahawa agenda reformasi total memerlukan kesabaran untuk melaksanakannya apabila tiba masa yang sesuai.
"Puluhan tahun, tetapi apa mesejnya? Mesejnya sama seperti disebut Presiden dalam ucapan dasar bahawa reformasi itu menuntut kesabaran, konsisten dan bila tiba masa yang sesuai reformasi itu akan dan terus dilaksanakan oleh kita," katanya.




Comments