LRT3 Shah Alam: Pemangkin mobiliti, pertumbuhan ekonomi - PM
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Pelancaran Laluan LRT3 Shah Alam hari ini menjadi satu langkah penting dalam usaha memperkukuh sistem pengangkutan awam negara ke arah lebih moden, cekap dan bersepadu demi kesejahteraan rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam majlis pelancaran LRT Shah Alam berkata, projek tersebut bukan sekadar menyediakan kemudahan pengangkutan, malah bakal membawa limpahan manfaat besar kepada jutaan penduduk di sepanjang jajaran melalui perjalanan yang lebih pantas, selesa dan boleh dipercayai.
"Pelancaran LRT3 Laluan Shah Alam hari ini menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha memperkukuh sistem pengangkutan awam negara yang lebih moden, cekap dan bersepadu demi kesejahteraan rakyat," katanya dalam muat naik di media sosial.
Anwar berkata, kemudahan itu membolehkan rakyat menjimatkan masa dan kos perjalanan harian, di samping membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas serta kebergantungan kepada kenderaan persendirian.

Beliau berkata, LRT3 juga dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat menerusi pembangunan berorientasikan transit (TOD), sekali gus merangsang pelaburan baharu, memperluaskan peluang perniagaan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
"LRT3 dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat melalui pembangunan berorientasikan transit (TOD), yang akan merangsang pelaburan baharu, memperluas peluang perniagaan, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan daya saing kawasan-kawasan yang dihubungkan oleh laluan ini," katanya.
Menurut beliau, jaringan pengangkutan yang lebih baik turut membuka akses lebih luas kepada peluang pekerjaan, institusi pendidikan, kemudahan kesihatan dan pelbagai perkhidmatan penting, sekali gus meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Anwar menegaskan Kerajaan MADANI akan terus komited melaksanakan pembangunan yang berteraskan keperluan rakyat serta memperkukuh daya tahan ekonomi negara.
"Justeru sewaktu merasmikan LRT3 Laluan Shah Alam hari ini, saya tekankan komitmen Kerajaan MADANI untuk terus melaksanakan pembangunan yang berteraskan keperluan rakyat, memperkukuh daya tahan ekonomi negara serta memastikan kemajuan yang dikecapi memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat, hari ini dan untuk generasi akan datang," katanya.
Sementara itu dalam hantaran berasingan, PM berpantun menguar uarkan tambang percuma kepada pengguna LRT selama sebulan sempena pembukaan laluan baharu.
Burung merpati terbang sekawan,
Datang kenari iring ke selat,
LRT laluan Shah Alam kini dilancarkan,
30 hari tambang percuma dinikmati rakyat.




Comments