LPT3: Tidak abai Pantai Timur, ECRL lebih penting – KEADILAN T'ganu
- Suara Keadilan

- 4 hours ago
- 2 min read

Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Terengganu menolak dakwaan Menteri Besar Terengganu kononnya Kerajaan Persekutuan mengabaikan negeri pembangkang di Pantai Timur susulan kelewatan pelaksanaan projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3).
Ketua Penerangan MPN KEADILAN Terengganu, Aiman Wan Alias berkata, tuduhan itu tidak berasas dan bercanggah dengan fakta sebenar memandangkan keputusan kerajaan meneliti semula projek berkenaan dibuat atas dasar tanggungjawab fiskal dan keprihatinan terhadap kepentingan rakyat.
"Kenaikan kos projek LPT3 daripada RM2.87 bilion kepada RM9.8 bilion menuntut penilaian semula secara menyeluruh terhadap model pembiayaan, struktur konsesi dan implikasi kewangan jangka panjang," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa tindakan kerajaan bukanlah pengabaian terhadap Pantai Timur, sebaliknya menunjukkan komitmen kerajaan untuk mengelakkan projek itu menjadi beban kewangan negara atau menyebabkan kadar tol yang membebankan pengguna pada masa depan.

"Kerajaan Persekutuan komited untuk memastikan setiap projek mega memberi manfaat sebenar dan berterusan kepada rakyat, bukan sekadar kelihatan gah di awal pelaksanaan tetapi akhirnya menekan pengguna dan ekonomi tempatan," katanya.
Aiman turut menolak dakwaan kononnya Pantai Timur dianaktirikan, dengan menegaskan bahawa kemajuan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang kini mencecah lebih 90 peratus di Terengganu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh jaringan infrastruktur dan integrasi ekonomi antara wilayah.
"Selain itu, kerajaan turut menyalurkan pelbagai bentuk pelaburan dan program pembangunan lain di negeri ini, termasuk inisiatif kemampanan ekonomi, peningkatan keupayaan tenaga kerja serta pembangunan luar bandar, semuanya bertujuan memastikan pembangunan Pantai Timur berlaku secara seimbang dan inklusif," katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan LPT3 menggunakan model profit-return toll system juga perlu diperhalusi agar tidak menimbulkan beban kos kepada rakyat.
"Pendekatan berhati-hati ini mencerminkan iltizam kerajaan untuk melaksanakan pembangunan secara mampan, berhemah dan berpaksikan kepentingan rakyat, bukan kerana dorongan politik jangka pendek," ujarnya lagi.
MPN KEADILAN Terengganu, kata beliau, berdiri teguh menyokong usaha Kerajaan Persekutuan menilai semula projek mega secara telus dan bertanggungjawab, bagi memastikan setiap sen perbelanjaan awam memberi manfaat sebenar kepada rakyat, termasuk rakyat Terengganu.
Untuk rekod, kos membangunkan ECRL sekitar RM75 bilion (termasuk pengambilan tanah) menyebabkan projek menghubungkan Kelantan dan Terengganu dengan Pantai Barat itu menjadi hutang projek awam terbesar negara.









Comments