Program Satelit Komuniti Rakyat MADANI diperkukuh peruntukan RM600,000
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Kawasan Rukun Tetangga (KRT) berperanan sebagai nadi perpaduan di peringkat akar umbi dan mampu menjadi agen perubahan kepada pembentukan masyarakat yang harmoni, inklusif dan sejahtera.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, sehubungan itu kementeriannya memperuntukkan RM600,000 tahun ini kepada 120 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara bagi memperkukuh pelaksanaan Program Satelit Komuniti Rakyat MADANI.
"Bagi tahun 2026, program ini akan dilaksanakan di 15 lokasi luar tapak Program MADANI Rakyat (PMR), meningkat berbanding 10 lokasi pada tahun 2025, termasuk tiga lokasi khas bagi Program Satelit Komuniti Khas iaitu Kenduri Rakyat MADANI yang dianjurkan oleh setiap agensi.
"Kementerian yakin program ini tepat pada masanya kerana selari dengan program teras Komuniti MADANI, salah satu kluster utama Kementerian Perpaduan Negara bagi tahun 2026, yang bertujuan memperkukuh semangat kejiranan dan kebersamaan dalam masyarakat," katanya dipetik.
Aaron sebelumnya berucap pada Majlis Penyerahan cek cura Peruntukan Program Satelit Komuniti Rakyat MADANI Tahun 2026 (Kluster Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional) Peringkat Negeri Perak di Pusat Nadi Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan 2 di Ipoh pada Ahad.
Penyerahan Cek Cura itu turut melibatkan sumbangan khas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tanda komitmen kerajaan kepada pembangunan komuniti akar umbi.
Dalam perkembangan berkaitan, Aaron berkata sebanyak 301 KRT telah dinaik taraf sebagai KRT Progresif pada 2025 berbanding 152 pada tahun sebelumnya hasil peruntukan RM16 juta, sekali gus membolehkan 529 produk ekonomi KRT dipasarkan merangkumi sektor pertanian, makanan, pelancongan dan kraftangan.
Jelasnya, kejayaan KRT Progresif dapat dilihat melalui projek berimpak tinggi termasuk program penanaman cili di Hulu Selangor yang mencatat nilai keuntungan sehingga RM600,000.









Comments