Loke teruskan tugasan rasmi di China sebelum proses peletakan jawatan


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook akan meneruskan program rasmi beliau di China seperti dijadualkan sebelum kembali ke Malaysia bagi menguruskan perkara berkaitan proses peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.
Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dalam kenyataan memaklumkan Loke akan mewakili Malaysia pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan APEC ke-12 di Beijing.
"Tuan Loke Siew Fook akan meneruskan program rasmi beliau di China seperti yang telah dijadualkan, bagi mewakili Malaysia dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan APEC ke-12 di Beijing," kata kenyataan itu.
Program berkenaan turut melibatkan beberapa pertemuan dua hala serta pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU), termasuk MoU kerjasama pengangkutan antara kerajaan Malaysia dan Republik Rakyat China.
MoU berkenaan merangkumi kerjasama dalam sektor darat, rel, maritim, penerbangan dan logistik.
Selain itu, satu lagi MoU membabitkan kerjasama keselamatan penerbangan antara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC).
Menurut MOT, MoU CAAM-CAAC merangkumi beberapa bidang termasuk kelayakan udara, pensijilan organisasi penerbangan, pelesenan personel, pengawasan operasi serta pengiktirafan bersama dapatan dan sijil pematuhan.
Selepas menyelesaikan program rasmi di Beijing, Loke dijadualkan ke Shanghai untuk menyertai rombongan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum kembali ke Malaysia.
"Selepas menyelesaikan program rasmi di Beijing, YB Menteri dijadualkan ke Shanghai untuk menyertai rombongan YAB Perdana Menteri sebelum kembali ke Malaysia bagi menguruskan perkara-perkara berkaitan proses peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Pengangkutan," katanya.
MOT turut memberi jaminan bahawa segala urusan dan tanggungjawab kementerian akan terus dilaksanakan seperti biasa sepanjang proses berkenaan.
"MOT akan terus memastikan segala urusan dan tanggungjawab Kementerian dilaksanakan seperti biasa secara profesional dan teratur," kata kenyataan itu lagi.




Comments