Loke MB: Dr Asyraf Wajdi perlu minta maaf kepada rakyat N Sembilan


Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki perlu memohon maaf kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan susulan kenyataannya yang mendakwa Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke akan menjadi Menteri Besar sekiranya Datuk Seri Aminuddin Harun tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Fahmi Fadzil menyifatkan kenyataan Pengerusi MARA itu sebagai tidak tepat kerana bercanggah dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan yang memperuntukkan bahawa jawatan Menteri Besar hanya boleh disandang oleh seorang Melayu yang memenuhi syarat ditetapkan.
"Saya lihat itu satu kenyataan yang tidak betul, jauh menyimpang daripada Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.
"Beliau juga Pengerusi MARA yang menjaga institusi pendidikan anak-anak Melayu.
"Sepatutnya beliau antara yang terawal meneliti dan memahami Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan sebelum mengeluarkan kenyataan sedemikian," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Wayang Pacak anjuran Finas di pekan Rompin, malam tadi.
Menurut Fahmi, sebagai pemimpin nasional, Dr Asyraf seharusnya lebih berhati-hati dalam mengulas perkara berkaitan sistem pentadbiran negeri agar tidak mengelirukan rakyat.
"Justeru, saya berharap beliau memohon maaf kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan atas kekhilafan yang telah beliau lakukan," katanya.
Beliau menjelaskan, Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan sejak sekian lama menetapkan bahawa Menteri Besar hanya boleh dilantik daripada kalangan orang Melayu, sekali gus menolak dakwaan bahawa Anthony Loke boleh dilantik ke jawatan tersebut.
"Sama ada Dr Asyraf tidak tahu ataupun terlupa sejarah, bagi saya ia satu sikap yang amat mengecewakan.
"Perkara asas seperti ini tidak sepatutnya disalahertikan oleh seorang pemimpin yang memegang jawatan penting dalam institusi pendidikan negara," katanya lagi.




Comments