top of page

LKTS tarik balik saman terhadap peserta skim sawit di Miri

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 2 hours ago
  • 2 min read
Penanam sawit Bukit Kisi lega dengan penarikan balik saman pemula LKTS terhadap mereka
Penanam sawit Bukit Kisi lega dengan penarikan balik saman pemula LKTS terhadap mereka

Mahkamah Tinggi Miri semalam membenarkan Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak (LKTS) menarik balik saman pemula terhadap kira-kira 100 peserta skim penanaman kelapa sawit di Bukit Kisi, Jalan Bekenu-Beluru, Miri.


Saman pemula itu sebelum ini difailkan bagi memohon perintah mahkamah untuk mengusir peserta yang didakwa menduduki sebahagian kawasan tanah yang telah diberikan geran pajakan negeri kepada LKTS.


Permohonan penarikan balik saman dibenarkan hakim selepas tiada bantahan dikemukakan oleh pihak defendan sekali gus menandakan persetujuan kedua-dua pihak untuk tidak meneruskan tindakan tersebut pada peringkat ini.


Difahamkan, keputusan berkenaan memberi kelegaan kepada peserta skim dan membolehkan mereka menumpukan perhatian kepada kegiatan pertanian yang diusahakan setakat ini.


Dalam prosiding itu, LKTS diwakili peguam Lydia Bedindang.


Seramai 31 peserta diwakili peguam Roland Engan manakala kira-kira 82 yang lain diwakili peguam Wendall Crocker.

Roland Engan dan anak guamnya berbincang
Roland Engan dan anak guamnya berbincang

Sementara itu, Roland ketika ditemui di luar mahkamah berkata keputusan tersebut memberi sedikit kelegaan kepada anak guamnya.


"Kami menghormati keputusan mahkamah hari ini yang membenarkan penarikan balik saman tersebut tanpa bantahan. Buat masa ini, anak guam saya boleh meneruskan aktiviti pertanian seperti biasa," katanya dipetik media tempatan.


Bagaimanapun, beliau menegaskan pihaknya akan terus bersiap siaga sekiranya tindakan undang-undang difailkan semula pada masa akan datang.


"Walaupun saman ini ditarik balik, kami tetap bersedia sekiranya pihak plaintif memfailkan semula tindakan. Kami akan mempertahankan hak anak guam kami mengikut lunas undang-undang," katanya.


Beliau turut menasihatkan peserta supaya kekal tenang dan mematuhi undang-undang.


"Apa yang penting sekarang ialah mereka kekal tertib dan terus mendapatkan nasihat guaman sekiranya timbul sebarang perkembangan baharu," katanya lagi.


Pertikaian itu dipercayai bermula apabila sebahagian kawasan tanah di Bukit Kisi, Jalan Bekenu-Beluru diberikan geran pajakan negeri kepada Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak (LKTS) bagi tujuan pembangunan skim penanaman kelapa sawit.


Bagaimanapun, peserta yang terlibat mendakwa mereka telah mengusahakan kawasan berkenaan sejak lebih sedekad lalu dan bergantung kepada hasil tanaman sawit sebagai sumber pendapatan utama keluarga.


Susulan dakwaan berlaku pertindihan hak dan pendudukan tanpa kebenaran di atas tanah pajakan itu, LKTS memfailkan saman pemula bagi mendapatkan pengesahan hak serta perintah pengusiran terhadap peserta terbabit.


Isu membabitkan tanah pertanian dan projek pembangunan agensi di Sarawak bukan perkara baharu, khususnya apabila melibatkan kawasan yang telah lama diusahakan penduduk sebelum diberikan pajakan rasmi kepada agensi kerajaan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page