top of page

LKIM beri amaran, tak kompromi ketirisan diesel bersubsidi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 1 min read

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap persatuan nelayan yang terbabit dengan ketirisan diesel bersubsidi.


Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan penyelewengan dan mahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil tindakan undang-undang sewajarnya.


Justeru, persatuan nelayan yang mengurus penjualan diesel perlu mematuhi sepenuhnya SOP ditetapkan bagi memastikan subsidi benar-benar memberi manfaat kepada golongan nelayan yang layak.


"Bahan api ini adalah subsidi, bukan soal hak. Ini melibatkan peruntukan kerajaan sebagai bantuan untuk meringankan kos operasi.


"Kalau kita tidak jaga betul-betul soal prosedur operasi standard (SOP), kita akan disiasat dan didenda, dan akan mendatangkan kerugian kepada persatuan nelayan sendiri," katanya dipetik laporan media.


Muhammad Faiz berkata begitu kepada pemberita selepas majlis Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Pahang 2026 di Pantai Sepat, Kuantan pada Sabtu.


Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, kerajaan kini sedang mempertingkatkan persiapan bagi memastikan bekalan ikan negara kekal stabil sepanjang musim tengkujuh, memandangkan operasi penangkapan ikan di Pantai Timur dijangka terjejas akibat cuaca buruk.


Bekalan akan ditampung oleh sumber dari Pantai Barat dan utara Semenanjung, di samping pelepasan stok simpanan melalui kerjasama strategik bersama pihak swasta.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page