Lebih banyak penguatkuasaan, kehadiran polis diperlukan di Bukit Bintang
- Akmal Manaf

- 42 minutes ago
- 2 min read

Imej Bukit Bintang sebagai ikon pelancongan Kuala Lumpur perlu dipelihara apabila pelbagai aduan berkaitan keselamatan, kebersihan, pematuhan undang-undang dan penggunaan ruang awam mendorong gesaan supaya tindakan penguatkuasaan lebih menyeluruh dilaksanakan.
Gesaan itu disuarakan Ketua Penerangan KEADILAN Cabang Bukit Bintang, Tengku Imran Tengku Zainal Abidin (gambar) yang berkata setiap aduan rakyat perlu diberikan perhatian sewajarnya dan disalurkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, antara aduan yang diterima melibatkan parkir haram, meja dan kerusi yang menghalang kaki lima serta laluan pejalan kaki, isu pematuhan imigresen, peminta sedekah warga asing, penggunaan ruang awam dan kebersihan premis perniagaan yang boleh menjejaskan keselamatan serta keselesaan orang ramai.
Katanya, isu berkenaan memerlukan kerjasama bersepadu antara agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) mengikut bidang kuasa masing-masing.
"Kita tidak mahu Bukit Bintang hanya dikenali sebagai kawasan tumpuan pelancongan dan perniagaan tetapi pada masa sama berdepan masalah yang boleh menjejaskan keselamatan, keselesaan serta kesejahteraan masyarakat setempat.
"Jalan Alor (juga) merupakan antara kawasan paling sibuk dan menjadi tumpuan pelancong serta masyarakat tempatan.
"Sehubungan itu, saya mencadangkan agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menilai keperluan mewujudkan pondok, pos atau kehadiran polis yang lebih jelas dan konsisten di kawasan-kawasan tumpuan, khususnya pada waktu malam.
"Kehadiran polis secara fizikal bukan sahaja penting untuk tindakan segera, malah dapat meningkatkan rasa selamat dalam kalangan orang awam, peniaga dan pelancong," katanya menerusi satu kenyataan.
Dalam pada itu, Tengku Imran turut mencadangkan agar mekanisme aduan susulan dan pemantauan berkala diwujudkan supaya aduan rakyat tidak berhenti sekadar pada penerimaan laporan, sebaliknya dapat dipantau sehingga tindakan sewajarnya diambil.
Berdasarkan keseluruhan aduan yang diterima, beliau yang juga Pengerusi Biro Aduan Awam KEADILAN Bukit Bintang menyeru agar satu operasi pemeriksaan dan penguatkuasaan bersepadu dipertimbangkan di kawasan-kawasan berisiko dan lokasi tumpuan di Bukit Bintang.
Dalam menyuarakan isu-isu tersebut ujarnya, KEADILAN Bukit Bintang tidak berniat untuk menyasarkan mana-mana kaum, agama atau kewarganegaraan.
"Yang menjadi sasaran ialah sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang, mengganggu ketenteraman awam, menjejaskan kebersihan, keselamatan serta hak orang awam.
"Keadilan dan penguatkuasaan mestilah dilaksanakan secara tegas, profesional, adil dan tanpa diskriminasi, berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa.
"Kita mahu Bukit Bintang menjadi kawasan yang selamat, bersih, teratur, mesra pelancong, mesra peniaga dan selesa untuk penduduk tempatan," katanya lagi.




Comments