top of page

'Lawatan Saifuddin pantau projek, MB Kedah 'balun' kata kerja pilihanraya'

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 8 hours ago
  • 2 min read
Begitu banyak projek dijaga DS Saifuddin di Kedah, kedatangan bukan menabur gula gula pilihanraya
Begitu banyak projek dijaga DS Saifuddin di Kedah, kedatangan bukan menabur gula gula pilihanraya

Tuduhan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa lawatan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ke negeri itu sebagai kempen pilihanraya sebagai tidak berasas dan bermotif politik.


Aktivis Pakatan Harapan, Syam Ghaz berkata, kehadiran Saifuddin adalah atas kapasiti rasmi sebagai Menteri Dalam Negeri dan Pengerusi Majlis Pembangunan Ekonomi Negeri Kedah bagi memantau pelaksanaan projek Persekutuan.


Menurut beliau, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Kedah menerima peruntukan sebanyak RM1.936 bilion melibatkan 536 projek, manakala di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 Rancangan Pertama (RMK13 RP1), peruntukan meningkat kepada RM2.218 bilion membabitkan 465 projek — pertambahan RM282 juta.


"Ini bukan angka kempen. Ini data rasmi projek Persekutuan yang sedang dan telah dilaksanakan di Kedah," katanya dalam kenyataan hari ini.


Antara projek utama yang diketengahkan termasuk projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedah bernilai RM641 juta yang kini 91.8 peratus siap, Loji Rawatan Air (LRA) Lubuk Buntar (98.5 peratus siap), Hospital Pendang bernilai RM222 juta (siap sepenuhnya) serta Loji Kumbahan Kota Setar bernilai RM239 juta (siap 100 peratus).

Syam Ghaz
Syam Ghaz

Selain itu, peruntukan untuk projek Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) turut meningkat daripada RM27 juta kepada RM199 juta.


Mengulas isu kemiskinan, beliau merujuk data rasmi sistem eKasih seliaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) setakat 15 Julai 2025 yang menunjukkan Kedah berada di tangga kelima tertinggi jumlah ketua isi rumah (KIR) miskin dan miskin tegar dalam negara dengan 23,874 KIR.


"Apabila menteri turun bersama agensi untuk menyelaras bantuan, memantau program pembasmian kemiskinan dan menyelesaikan isu dokumentasi rakyat, itu adalah tanggungjawab kerajaan, bukan kempen," katanya.


Dalam lawatan tersebut, Saifuddin turut membawa beberapa agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bagi menangani isu keselamatan, dadah, dokumentasi dan kawalan sempadan.


Tindakan Sanusi mempolitikkan lawatan tersebut, kata Syam, mencerminkan kegagalan membezakan antara pentadbiran dan politik.


Saifuddin juga merupakan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Kedah dan Pengerusi Pakatan Harapan Kedah.


Menurut kenyataan itu, program rasmi kerajaan dan program parti dilaksanakan secara berasingan mengikut kapasiti masing-masing.


"Rakyat boleh menilai siapa yang turun dengan data, projek dan penyelesaian, dan siapa yang sekadar bermain persepsi," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page