top of page

Lawan Covid 19: Jangan Sisih Wakil Rakyat Pembangkang


Oleh: Dr Tan Yee Kew


Ketika negara sedang menghadapi cabaran yang belum pernah terjadi dalam sejarah. Sekitar 3,908 orang telah kehilangan nyawa sejak pandemik Covid 19 wujud. Lebih dari dua minggu lockdown penuh dijalankan, jumlah kes positif kekal pada 5,000 kes sehari atau 4 kematian setiap jam.


Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Malaysia akan mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun selepas 80% rakyat divaksin sepenuhnya, jika semuanya berjalan lancar.


Sehingga kini hanya 8% penduduk telah divaksin dan 60% daripada umur 18 tahun ke atas telah mendaftar. Berdasarkan statistik ini, ia mungkin memerlukan lebih dari setahun untuk mencapai imuniti kelompok. Oleh yang demikian, kita harus bersedia memobilisasikan negara bagi memerangi perang melawan virus yang berpanjangan ini.


Wakil yang dipilih mengapa dilarang terlibat?


Namun saya tidak dapat menahan rasa marah dan kecewa apabila negara memerlukan satu gabungan bersatu padu untuk memerangi wabak ini, terdapat wakil rakyat yang telah dipilih secara sah dilarang memainkan peranan yang lebih bermakna. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengisytiharkan Darurat dan menggantung Parlimen sehingga menghalang Ahli Parlimen pembangkang memberi cadangan dan menyemak perbelanjaan. Diperingkat kawasan, wakil rakyat tidak dibenarkan menghadiri semua mesyuarat dan aktiviti berkaitan dengan pandemik ini. Mereka juga tidak diberi akses mendapatkan maklumat. Apakah rasionalnya semua ini? Adakah mereka takut pihak pembangkang akan menenggelamkan prestasi mereka?


Dr Tan berpandangan wakil rakyat perlu dilibatkan dalam kempen menggalakkan rakyat mendaftar vaksin

Pendaftaran vaksinasi masih ketinggalan daripada sasaran. Tetapi satu-satunya langkah yang dapat difikirkan kerajaan PN adalah menetapkan tarikh akhir pendaftaran. Apa yang akan dilakukan dengan mereka yang belum mendaftar sebelum tarikh akhir? Kecualikan mereka dari vaksinasi? Penjarakan mereka? Atau seperti biasa memberi hukuman dengan denda yang lebih berat?


Bagi menggalakkan orang mendaftar dan menjalani vaksinasi pada tarikh tertentu, kita tidak boleh bergantung pada publisiti media atau kenyataan akhbar oleh PM dan Menteri. Tiada pasukan lapangan yang teratur untuk mengumpulkan, memobilisasi dan membantu rakyat membuat pendaftaran serta mengatur perjalanan mereka untuk mengambil suntikan. Jadi, bagaimanakah mereka boleh mengharapkan tindak balas yang cepat dari masyarakat dan proses pendaftaran dan vaksinasi yang berkesan?


Mengapa elak ujian saringan besar-besaran?


Mengapa tidak membenarkan wakil rakyat yang dipercayai oleh masyarakat setempat dan lebih memahami situasi di kawasan mereka membantu menggerakkan pengundi mereka bagi proses pendaftaran dan vaksinasi.


Sebelum mencapai imuniti kelompok, tugas lebih mustahak sekarang adalah memutuskan rantaian jangkitan. Ahli-ahli Parlimen Wilayah Persekutuan telah berulang kali mendesak kerajaan dan pihak DBKL untuk mengadakan saringan besar-besaran bagi semua penduduk Kuala Lumpur. Tetapi sehingga hari ini kerajaan masih mengelak melayan saranan kami.


Pusat khidmat saya telah menerima banyak pertanyaan dan cadangan berkaitan vaksinasi. Bagaimanakah Ahli Parlimen mampu bertindak dengan berkesan sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat ketika PN terus mengenepikan pihak pembangkang?


Tiada komunikasi dua hala antara pihak pengurusan dan rakyat. Semua keputusan adalah secara langsung daripada atas ke bawah. PM dan kabinetnya membuat semua keputusan, mengumumkan dan hanya menunggu hasil. Kebiasaannya, rakyat yang dipersalahkan apabila tindakan kerajaan gagal mencapai matlamat. Perkara yang dapat kita fahami kerana suara rakyat adalah perkara terakhir yang akan didengari kerajaan.


__________________________________________________________________________________

Penulis merupakan Ahli Parlimen Wangsa Maju

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page