Lapor polis Perjanjian ART: Tuduhan Mahathir tidak berasas, ART hanya perjanjian dagang
- Suara Keadilan
- 8 minutes ago
- 2 min read

Tindakan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad membuat laporan polis semalam ke atas Perjanjian Timbal Balik Malaysia–Amerika Syarikat (ART) yang ditandatangani pada Sidang Kemuncak ASEAN ke 47 lalu tidak lebih daripada gimik politik.
Bagi aktivis KEADILAN, Zainurizzaman Moharam, tindakan Dr Mahathir itu tidak berasas dan malah bercanggah dengan fakta sejarah serta rekod pentadbiran bekas perdana menteri itu sendiri.
Menurutnya, dakwaan Mahathir bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah “menjual negara”, “melanggar perlembagaan” dan “menghilangkan kedaulatan Malaysia” adalah mengarut kerana ART hanyalah perjanjian ekonomi yang merangkumi perdagangan, tarif, pelaburan serta standard barangan antara kedua-dua negara.
“Perkara pertama yang perlu difahami ialah ART bukan perjanjian pelik. ART hanyalah perjanjian ekonomi antara Malaysia dan Amerika Syarikat yang menyentuh perdagangan, tarif dua hala, pelaburan, standard barangan dan kemudahan pasaran.
"Tidak ada satu pun klausa berkaitan ketenteraan, pangkalan tentera, atau penguasaan keselamatan negara oleh pihak asing," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa ART turut memiliki exit clause yang membolehkan Malaysia menarik diri pada bila-bila masa jika perjanjian itu merugikan negara.
Zainurizzaman juga membidas kenyataan Mahathir yang mendakwa Malaysia kini tunduk kepada kuasa asing di bawah pentadbiran Anwar. Menurutnya, rekod sejarah pentadbiran bekas PM (1981 - 2003) itu menunjukkan perkara sebaliknya.
"Mahathir menuduh Anwar tunduk kepada Amerika. Namun sejarah menunjukkan sebaliknya. Pada zaman Mahathir, sebarang perubahan sedikit pada Moody’s dan S&P, dua syarikat penilaian kredit antarabangsa yang menilai “kesihatan kewangan” negara; sudah cukup untuk membuat kerajaan panik, mengubah dasar ekonomi, dan tunduk kepada kehendak pelabur luar," ujarnya sambil menambah bahawa kini penarafan Malaysia kembali stabil, pelaburan asing meningkat, dan kerajaan mengurus perjanjian ekonomi tanpa tekanan luar.
Beliau turut menyorot kerosakan ekonomi yang berlaku semasa era Mahathir, termasuk kegagalan beberapa projek besar negara.
"Proton rugi berbilion hingga 49% dijual kepada Geely. Perwaja hilang hampir RM10 bilion. MAS hampir bankrap dan terpaksa diselamatkan. Skandal-skandal besar seperti Forex BNM, Maminco, PKFZ dan MISC berlaku dalam era beliau," katanya.
Selain itu, Zainurizzaman membidas retorik Mahathir mengenai hak Melayu yang sering dilaungkan setelah kehilangan kuasa, terutama untuk menghitamkan imej pentadbiran PM Anwar.
"Sebenarnya sepanjang 22 tahun lebih pentadbirannya, DEB telah jadi alat bantu kroni, peniaga Melayu kecil tersepit dan kekayaan terkumpul di elit tertentu. Tetapi hari ini beliau tampil seolah-olah wira pejuang Melayu."
Menurutnya lagi, kemarahan Mahathir terhadap ART bukanlah atas sebab prinsip atau kedaulatan negara, tetapi kerana perjanjian itu ditandatangani oleh Anwar yang kini berjaya mengurus negara dengan baik.
"Dia marah kerana yang menandatangani ART ialah Anwar Ibrahim, seorang pemimpin yang diterima dunia, disokong rakyat, menstabilkan ekonomi, dan membongkar rasuah mega zaman dahulu.
"Itu ego Mahathir terguris. ART itu sendiri tidak merugikan negara, mempunyai klausa keluar, dan mengikut undang-undang Malaysia," jelasnya.
Zainurizzaman menegaskan laporan polis adalah Mahathir untuk melakukannya, namun rakyat perlu melihat fakta sejarah secara objektif dan dalam 'mengenali' permainan politik Mahathir.





