Langkah KPM tingkat keselamatan, perkenal 'kotak suara murid' tepat
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 1 min read

Langkah terbaharu diumum Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memperkukuh keselamatan dan kesejahteraan warga sekolah di seluruh negara disambut baik KEADILAN Johor.
Ketua Penerangan KEADILAN Johor, Fakharuddin Moslim (gambar) berkata, inisiatif tersebut amat bertepatan dengan keperluan semasa, khususnya dalam memastikan sekolah menjadi persekitaran yang selamat, sejahtera dan kondusif untuk murid serta guru.
"Fokus utama KPM kali ini jelas, memastikan sekolah benar-benar menjadi tempat yang selamat dan harmoni untuk murid menimba ilmu serta guru," katanya dalam kenyataan.
Fakharuddin berkata, peruntukan tambahan bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) serta penempatan lebih 10,000 guru baharu, termasuk Guru Bimbingan dan Kaunseling, amat dialu-alukan kerana ia bukan sahaja meningkatkan keselamatan fizikal, malah memperkukuh sokongan terhadap kesihatan mental pelajar.
"Usaha ini bukan sahaja meningkatkan aspek keselamatan, tetapi juga memperkukuh sokongan terhadap kesihatan mental dan kesejahteraan murid," ujarnya.
Dalam masa sama, beliau turut memuji langkah KPM yang memperkenalkan pelantikan Pembantu Warden Asrama Sepenuh Masa serta memperkukuh kerjasama strategik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, langkah itu penting bagi mempertingkat tahap keselamatan dan kebajikan pelajar, khususnya di sekolah berasrama yang menempatkan ribuan murid di bawah jagaan warden.
Fakharuddin turut tertarik dengan pengenalan inisiatif ‘kotak suara murid’, yang menurutnya memberi ruang kepada pelajar dan guru untuk menyuarakan pandangan serta aduan dengan lebih terbuka.
"Pendekatan ini mencerminkan semangat Pendidikan Madani yang menghargai komunikasi dua hala dan keterlibatan semua pihak," ujarnya.
Beliau berharap semua inisiatif berkenaan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan membawa impak positif kepada seluruh warga pendidikan.
"InsyaAllah, sekolah selamat, murid tenang, guru cemerlang," katanya lagi.









Comments