Laluan darat bantu Gaza: Usaha bantu Palestin perlu diteruskan - Suhaizan
- Suara Keadilan

- Oct 12
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
“Kalau tidak dipecahkan ruyung, masakan dapat sagunya.” Peribahasa lama itu tepat menggambarkan usaha gigih Malaysia dalam usaha menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui jalan darat dengan kerjasama Mesir, kata Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat (gambar).
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini yang menyatakan akan mengumpulkan pihak yang berusaha membebakalkan bantuan ke Gaza selepas pembentangan Belanjawan 2026.
Usaha bantuan kali ini, kata PM, akan melalui jalan darat dari Mesir dan tidak lagi melalui laut yang sering disabotaj tentera Israel di perairan antarbangsa.
"Kalau tidak dipecahkan sekatan dengan cara diplomasi dan hubungan antarabangsa, masakan bantuan dapat disampaikan. Inilah pendekatan yang diambil oleh Kerajaan Madani — bukan retorik, tetapi strategi yang realistik dan berkesan," katanya kepada Suara Keadilan.
Mengenai pandangan segelintir pihak menganggap pendekatan penghantaran bantuan melalui negara Arab tertentu tidak sesuai dengan semangat jihad, Suhaizan menyifatkan pandangan itu kurang memahami realiti geopolitik dan struktur kuasa di rantau berkenaan.
Suhaizan menegaskan bahawa kerjasama dengan Mesir adalah langkah strategik kerana negara itu mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, sempadan darat dengan Gaza dan berperanan penting dalam membenarkan konvoi bantuan memasuki wilayah berkenaan.
Katanya, dalam situasi konflik yang rumit, tindakan membina jaringan diplomatik memerlukan kesabaran, kebijaksanaan, dan keberanian politik.
"Apakah kita tiada rasa kemanusiaan dengan warga Gaza yang kebuluran? Apakah kita boleh makan selera sedangkan bayi-bayi Gaza mati tak cukup susu?
"Kalau kita bangga dengan kemakmuran negara kita kesan daripada kemerdekaan dan sekarang dipimpin oleh anak-anak watan. Maka warga Palestin jugak berhak mendapat hak yang sama," katanya.
Mengulas pandangan pihak tertentu bahawa Malaysia berlebihan dalam membantu pembangunan Palestin termasuk pakej bantuan RM100 juta seperti diumumkan Perdana Menteri beberapa bulan lalu, bekas Speaker DUN Johor itu berkata, bantuan ini terlalu kecil dibandingkan penderitaan dialami warga Palestin.
"Bantuan RM100 juta itu terlalu kecil dibandingkan dengan kemusnahan dan penderitaan warga Gaza. Ini masa mereka ditekan, kita datang membantu. Kelebihan yang ada pada PMX perlu dimanfaatkan untuk kesejateraan warga Palestin.
"Sebagai Kerajaan Madani yang menekankan karomah insani (kemuliaan manusia atau kehormatan manusia) perlu mencari jalan untuk menyelamat insan yang dijajah dengan zalim oleh Zionis Israel.
"Jika kekejaman dan kezaliman dibenar berlaku maka ia boleh merebak. Kita kena lawan kezaliman ini," ujarnya lagi.









Comments