KUSKOP tiga inisiatif: Moratorium, sewa premis turun 20% bantu PMKS
- Redzuan Shamsudin

- May 7
- 1 min read

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi mengumumkan tiga inisiatif utama melalui UDA Holdings Berhad bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), termasuk penurunan kadar sewaan premis sehingga 20 peratus.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong (gambar) berkata langkah itu diambil bagi menyahut saranan Perdana Menteri dalam usaha meringankan beban peniaga yang terkesan akibat krisis bekalan global.
"KUSKOP Menyambut baik saranan YAB Perdana Menteri semalam agar UDA Holdings Berhad menurunkan kadar sewaan premis perniagaan bagi membantu meringankan beban peniaga-peniaga dan usahawan sektor PMKS yang terkesan akibat krisis bekalan global," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, UDA telah mengambil pendekatan holistik dengan melaksanakan tiga inisiatif utama melibatkan diskaun sewa, moratorium dan bantuan kos utiliti.
"(Inisiatif pertama adalah) pemberian diskaun sewa sehingga 20 peratus, dengan pelaksanaan secara bersasar berdasarkan 2 kategori pelaksanaan iaitu pemberian 10% kepada kepada semua penyewa dan tambahan diskaun 10% secara bersasar kepada usahawan PMKS melalui Program Insentif Usahawan UDA bermula Mei sehingga Disember 2026," jelasnya.
Selain itu, katanya, UDA turut melaksanakan moratorium bagi membantu aliran tunai PMKS melalui pembayaran sewa yang lebih fleksibel.
"(Ia) termasuk kebenaran tunggakan sewa sehingga tiga bulan kepada penyewa yang terjejas berdasarkan penilaian prestasi dan keperluan operasi," katanya.
Tambah beliau, bantuan kos utiliti turut disediakan melalui penangguhan kenaikan caj perkhidmatan operasi kompleks, dengan UDA menanggung kos kenaikan tersebut.
"UDA dijangka menanggung kos sebanyak RM12.5 juta untuk melaksanakan keseluruhan bantuan ini kepada peniaga dan usahawan PMKS," katanya.
Menurut beliau, langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan kelangsungan perniagaan PMKS terus terpelihara dalam persekitaran ekonomi mencabar.




Comments