Kumaresan bantu keluarga tanpa tempat tinggal, pastikan kanak kanak bersekolah
- Redzuan Shamsudin
- 12 hours ago
- 2 min read

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A Kumaresan membantu sebuah keluarga yang berdepan masalah kediaman, dokumen pengenalan dan akses pendidikan selepas mereka ditemui menumpang di masjid serta tidur di kaki lima di sekitar Sungai Dua.
Beliau berkata, keluarga berkenaan terdiri daripada seorang ibu tunggal, anak lelakinya berusia tujuh tahun dan seorang lelaki berusia 50an yang merupakan pesakit diabetes.
"Saya menerima satu panggilan memaklumkan bahawa terdapat tiga individu, dua orang dewasa dan seorang kanak-kanak yang dilihat berkeliaran di Sungai Dua. Mereka difahamkan tidak mempunyai tempat tinggal tetap dan hanya menumpang di masjid atau tidur di kaki lima.
"Pasukan saya berjaya mengesan mereka dan membawa mereka hadir ke Pusat Khidmat saya. Saya sendiri telah berjumpa dengan mereka untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenai kesulitan yang sedang dihadapi,” katanya dalam kenyataan media.
Menurut Kumaresan, ibu kepada kanak-kanak itu, Nur Aisyah, merupakan seorang mualaf dan tidak mempunyai pekerjaan tetap, manakala anaknya tidak pernah bersekolah kerana belum memiliki dokumen pengenalan diri.
"Puan Nur Aisyah merupakan seorang mualaf dan ibu tunggal yang mempunyai seorang anak lelaki berusia tujuh tahun. Anak tersebut tidak pernah bersekolah kerana masih belum mempunyai dokumen pengenalan diri.
"Beliau memaklumkan bahawa suaminya telah meninggalkannya sejak anak mereka dilahirkan. Lebih menyedihkan, beliau juga tidak tahu membaca dan menulis, menyebabkan urusan permohonan sijil kelahiran serta dokumen pengenalan anaknya tidak pernah dapat diuruskan," katanya.
Turut bersama keluarga itu ialah bapa saudara Nur Aisyah, Shah, 50, yang sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan sebelum terpaksa berhenti akibat masalah kesihatan.
Kumaresan berkata, keluarga berkenaan pernah menetap di Flat Hamna dan sebelum ini menumpang di rumah saudara sebelum diminta berpindah.
"Tanpa pekerjaan dan kediaman tetap, kehidupan mereka kini bergantung sepenuhnya kepada sumbangan makanan serta bantuan daripada orang ramai," katanya.
Beliau berkata, keadaan kanak-kanak berusia tujuh tahun itu paling menyentuh hati kerana tidak pernah berpeluang mendapat pendidikan formal.
Kumaresan berkata, beliau akan membantu Nur Aisyah menguruskan permohonan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mendapatkan sijil kelahiran dan dokumen pengenalan anaknya.
Beliau turut mendapatkan bantuan Pejabat Timbalan Ketua Menteri I (TKM1), pihak zakat serta Penghulu KADUN Batu Uban bagi mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi berkaitan.
Menurutnya, pihak zakat telah bertemu keluarga itu, menyalurkan bantuan kewangan awal dan sedang berusaha membantu mereka mendapatkan rumah sewa.
"Pihak JKM juga telah menjalankan sesi temu duga di Pusat Khidmat saya dan meluluskan bantuan kewangan sebanyak RM500 secara one-off. Seterusnya, permohonan bantuan bulanan akan diproses bagi membantu meringankan beban keluarga ini," katanya.
Kumaresan berkata, dalam tempoh dua hari, pelbagai bantuan asas berjaya diselaraskan hasil kerjasama pelbagai pihak.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keutamaan kini adalah memastikan kanak-kanak berkenaan memperoleh dokumen yang diperlukan supaya dapat didaftarkan ke sekolah.
"Saya akan terus memantau kes ini sehingga beliau memperoleh sijil kelahiran, dokumen pengenalan diri, dan seterusnya dapat didaftarkan ke sekolah," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu keluarga berkenaan.
"Inilah semangat sebenar Malaysia MADANI — tiada siapa yang harus dipinggirkan, dan setiap insan berhak diberikan peluang untuk membina kehidupan yang lebih baik.
"Selagi saya diberi amanah, saya akan terus berusaha memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada menerima hak dan bantuan yang sewajarnya," katanya lagi.
