top of page

Kukuhkan perkongsian ASEAN-Australia - PM

Writer: Noraini Nordin
Noraini Nordin
18 hours ago
2 min read
Sidang Kemuncak ASEAN-Australia di Manila, Filipina
Sidang Kemuncak ASEAN-Australia di Manila, Filipina

Malaysia mahu memperkukuh Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-Australia dengan memberi tumpuan kepada kerjasama lebih konkrit, seimbang dan berpaksikan kepentingan bersama, khususnya dalam perdagangan, pelaburan, keselamatan tenaga serta transformasi digital.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata genap lima tahun perkongsian strategik itu menjadi landasan penting untuk membawa hubungan ASEAN-Australia ke tahap lebih tinggi, sekali gus membuka ruang kerjasama lebih luas dalam menghadapi cabaran ekonomi dan geopolitik semasa.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pendirian Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN-Australia di Manila, Filipina.


Menurut Anwar, antara bidang yang perlu diberi keutamaan ialah pembangunan rantaian bekalan dan nilai serantau yang lebih berdaya tahan, terutama dalam sektor mineral kritikal.


Katanya, usaha itu perlu disokong melalui pemindahan teknologi, pelaburan serta pembangunan kepakaran supaya manfaat kemakmuran dapat dikongsi secara lebih saksama oleh negara-negara ASEAN.


Kukuhkan kerjasama keselamatan digital


Dalam menghadapi cabaran serantau dan antarabangsa, Anwar menegaskan ASEAN dan Australia perlu terus memperkukuh multilateralisme serta menghormati undang-undang antarabangsa.


Beliau turut menekankan kepentingan meningkatkan kerjasama dalam menangani ancaman keselamatan siber dan risiko berkaitan kecerdasan buatan (AI), yang semakin memberi kesan kepada keselamatan serta kestabilan rantau ini.


Kerjasama dalam bidang peralihan iklim dan transformasi digital juga dilihat penting bagi memastikan pembangunan serantau kekal mampan dan berdaya saing.


Dalam perkembangan sama, Malaysia turut menyuarakan kebimbangan terhadap konflik di Asia Barat yang semakin meruncing, termasuk serangan ke atas Arab Saudi.


Anwar menggesa usaha diplomatik dipergiat bagi meredakan ketegangan serta menangani punca sebenar konflik bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.


Beliau menegaskan kepentingan pendekatan berasaskan dialog, penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa dan kerjasama pelbagai hala dalam menangani krisis keselamatan serantau serta global.


Malaysia, katanya, akan terus menyokong hubungan ASEAN-Australia yang lebih kukuh demi kepentingan bersama, kestabilan rantau dan kemakmuran jangka panjang.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page