Kukuhkan ekosistem media sosial, media arus perdana – Mustapa


Kerajaan perlu memperkukuh hubungan antara media perdana, media sosial dan rakyat bagi memastikan maklumat serta pencapaian kerajaan dapat disampaikan secara lebih berkesan kepada masyarakat.
Pengerusi Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SEKPUR), Mustapa Mansor Amer Mohd Isa (gambar) berkata, media sosial tidak seharusnya bergerak secara bersendirian, sebaliknya perlu diwujudkan satu ekosistem komunikasi yang saling melengkapi.
"Kita perlu melihat semula hubungan dengan media perdana seperti Bernama, RTM dan media arus perdana yang lain. Media sosial tidak sepatutnya bergerak bersendirian.
"Kita perlu mewujudkan ekosistem yang mengandungi media perdana; media sosial; pempengaruh; komuniti dan rakyat," katanya dalam ucapan di Program Meja Bulat dan Bengkel Strategi Pempengaruh Media Sosial di Kuala Lumpur, semalam.
Beliau berkata, berita serta pencapaian kerajaan juga perlu diterjemahkan dalam bentuk yang mudah difahami rakyat dan tidak terhad kepada kenyataan rasmi semata-mata.
Dalam masa sama, Mustapa berkata penggunaan kecerdasan buatan (AI) perlu diperluaskan dalam strategi komunikasi bagi memahami sentimen dan pola komunikasi masyarakat.
"Kita perlu belajar menggunakan AI untuk analisis sentimen rakyat, mengenal pasti trend, menghasilkan kandungan, menganalisis data, menyusun mesej, menghasilkan video dan grafik serta mempercepatkan respons dan memahami pola komunikasi masyarakat," katanya.
Beliau turut menggesa supaya ruang dakwah dan pendidikan agama dalam media digital tidak dibiarkan dikuasai pihak tertentu terutama ustaz Pas yang didakwa menggunakan agama untuk memecah-belahkan masyarakat.
Menurutnya, lebih banyak kandungan agama yang bersifat mendidik dan mendekati masyarakat perlu dihasilkan melalui platform digital.
"Kita perlu memperbanyakkan kuliah agama digital, tazkirah pendek, video ilmu, dialog ulama dan anak muda, program masjid, program ke kampung-kampung."
Mustapa turut meminta kerajaan menjelaskan bentuk sokongan yang boleh disediakan kepada penggiat media sosial yang selama ini membantu menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
"Kita ingin bertanya secara terbuka kepada pihak kerajaan apakah bentuk bantuan yang boleh diberikan kepada para pejuang media sosial?
"Adakah dari segi latihan, teknologi, pendidikan digital, peralatan, ruang studio, data atau peruntukan yang telus dan pembangunan kapasiti?" soalnya.
Beliau berkata, aktivis media yang bekerja secara sukarela juga mempunyai keperluan asas yang perlu diberi perhatian sekiranya kerajaan mahu membina komunikasi yang lebih berkesan.
Selain itu beliau berkata, isu peruntukan kewangan bagi pengurusan media sosial perlu dibincangkan secara serius kerana komunikasi moden memerlukan sumber manusia, teknologi, data, latihan, peralatan dan masa.
"Kita wajar membincangkan secara serius soal peruntukan kewangan untuk media sosial.
"Media moden memerlukan manusia, teknologi, data, latihan, peralatan dan masa," jelasnya.
Mustapa berkata, perancangan kewangan yang munasabah, telus dan berakauntabiliti diperlukan bagi memastikan strategi komunikasi kerajaan dapat dilaksanakan secara berkesan.




Comments