top of page

Krisis tenaga: Kerajaan beri perhatian serius terhadap PMKS, industri kesihatan

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • 4 days ago
  • 1 min read

Kesan krisis tenaga global terhadap industri, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta sektor kesihatan akan diberi perhatian serius oleh kerajaan.


Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir (gambar) dalam satu kenyataan berkata, keutamaan bukan sekadar meredakan tekanan jangka pendek, tetapi juga memperkukuh ketahanan bekalan sedia ada menerusi pelaksanaan perubahan struktur ekonomi secara bertanggungjawab.


"Semua ini perlu dilakukan dengan mengambil kira kedudukan fiskal negara yang sedang menanggung subsidi minyak yang tinggi. Matlamat kerajaan jelas iaitu mengurangkan beban industri, melindungi pengguna akhir dan memastikan ekonomi negara kekal berdaya tahan.


"Kurangkan tekanan industri, lindungi pengguna dan perkukuh daya tahan negara," katanya.


Sementara itu jelasnya, kerajaan mengadakan sesi libat urus dengan bersama PMKS serta sektor kesihatan.


Libat urus berkenaan memberi ruang langsung kepada industri untuk membentangkan kesan langsung krisis tenaga global terhadap operasi perniagaan, termasuk peningkatan kos input, tekanan rantaian bekalan serta cabaran mengekalkan daya saing dan kesinambungan operasi.


Dalam merangka langkah seterusnya, Ahli Parlimen Johor Bahru itu menegaskan kerajaan perlu bertindak secara seimbang dan berhemat dengan mengambil kira kedudukan fiskal negara, khususnya dalam keadaan tanggungan subsidi minyak yang tinggi.


Justeru, kerajaan kekal komited memastikan kelangsungan perniagaan, kestabilan bekalan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara, di samping memastikan negara mempunyai ruang tindak balas mencukupi untuk mengurus tekanan global serta melaksanakan perubahan struktur ekonomi bagi memperkukuh daya tahan jangka sederhana dan panjang.


"Justeru, sebarang intervensi perlu bersasar, berimpak dan mampu mengurangkan tekanan kepada industri tanpa memindahkan beban kepada pengguna akhir," tambahnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page