Krisis tenaga global: Bandingkan strategi MB Selangor dan Kedah
- Helmi Mohd Foad

- Apr 18
- 1 min read

Perbezaan pendekatan Selangor dan Kedah dalam mendepani tekanan kos sara hidup serta ketidaktentuan ekonomi global menarik perhatian netizen yang membandingkan tindakan kedua-dua pentadbiran itu ketika rakyat berdepan cabaran semasa.
Pemerhati politik Jason Yew berkata, situasi semasa memperlihatkan perbezaan gaya kepimpinan negeri dalam mengurus krisis khususnya ketika isu kos sara hidup dan kesan krisis tenaga global semakin dirasai rakyat.
Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini telah berulang kali mengingatkan rakyat supaya berjimat cermat dalam perbelanjaan dan bersedia menghadapi kemungkinan kesan ekonomi global.
"Seruan ini sepatutnya menjadi panduan kepada semua peringkat kerajaan, termasuk kerajaan negeri," katanya dalam muat naik di media sosial.
Bagaimanapun, beliau mendakwa apa yang berlaku di Kedah dilihat bercanggah dengan semangat berjimat apabila Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor masih meneruskan aktiviti berskala besar.
"Ketika rakyat diminta mengawal perbelanjaan, Menteri Besar Kedah masih meneruskan aktiviti seperti rumah terbuka besar-besaran dan konvoi motosikal," katanya.
Sebaliknya, Jason berkata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari mengambil pendekatan lebih proaktif apabila mengumumkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor bernilai lebih RM130 juta.
Katanya, pakej itu merangkumi pelbagai langkah termasuk usaha mengawal inflasi, mengurangkan kos sara hidup, memperkukuh keterjaminan makanan serta meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.
"Perbandingan ini menimbulkan persoalan besar tentang keutamaan kepimpinan negeri. Dalam keadaan krisis, rakyat bukan sekadar mahu mendengar arahan supaya berjimat tetapi mereka juga mahu melihat langkah konkrit daripada kerajaan negeri," katanya.
Beliau merumuskan rakyat lazimnya menilai kepimpinan bukan hanya berdasarkan kenyataan, tetapi melalui tindakan dan dasar yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian mereka.
"Selangor tampil dengan pakej bantuan dan intervensi ekonomi [manakala] Kedah setakat ini hanya mengeluarkan seruan berjimat tanpa pengumuman bantuan khusus," katanya.




Comments