Krisis takhta NS: Rakyat berhak tahu siapa paksa MB tandatangan proklamasi


Rakyat Negeri Sembilan berhak mengetahui siapa yang didakwa memaksa Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim menandatangani Surat Cara Proklamasi yang dikaitkan dengan tindakan pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, kata Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar (gambar).
Beliau berkata persoalan itu timbul selepas Ismail mengakui menandatangani dokumen berkenaan tetapi mendakwa tandatangannya dibuat tanpa rela hati dan secara paksaan (duress).
Menurutnya, Ismail juga membuat laporan polis berhubung dakwaan berkenaan serta menyatakan dokumen itu tidak memenuhi proses seperti diperuntukkan di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
"Saya menghormati penjelasan beliau dan menyerahkan dakwaan paksaan itu kepada siasatan pihak berkuasa.
"Namun persoalan rakyat tetap perlu dijawab. Macam mana tergamak MB angkat sumpah sebagai MB Negeri Sembilan depan Tuanku Mukhriz pada 2 Ogos 2026 dan keesokannya, 3 Ogos 2026 tandatangan pecat Tuanku Mukhriz.
"Pada 8 Sept baru buat laporan polis mendakwa beliau dipaksa. 9 Sept baru beri tahu media yang beliau dipaksa," katanya dalam kenyataan media.
Mahfuz berkata, sekiranya benar wujud unsur paksaan, persoalan mengenai siapa yang memaksa dan mengapa tandatangan itu diberikan juga perlu dijelaskan.
Menurutnya, isu berkenaan bukan membabitkan tandatangan biasa kerana ia menyentuh institusi Raja dan Perlembagaan Negeri Sembilan.
"Ini bukan tandatangan dokumen biasa. Ia menyentuh institusi Raja dan Perlembagaan negeri.
"Bayangkan apa akan jadi pada masa depan Negeri Sembilan kalau MBnya pakai hentam kromo tanda tangan," katanya.
Mahfuz turut mengaitkan perkembangan itu dengan krisis politik Negeri Sembilan ketika ditadbir oleh kerajaan dipimpin Pakatan Harapan (PH) apabila 14 ADUN Umno-BN menarik sokongan terhadap Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun pada 27 April 2026.
Menurutnya, tindakan tersebut dibuat atas alasan krisis yang membabitkan institusi adat dan Perlembagaan negeri yang gagal dikawal dengan baik oleh Aminuddin.
Oleh itu, Mahfuz mempersoalkan mengapa isu adat yang sepatutnya selesai setelah Pilihan Raya Negeri pada Ogos lalu masih lagi menjadi duri dalam daging di negeri itu.
"Persoalannya, mengapa krisis adat yang sepatutnya diselesaikan melalui saluran adat, Perlembagaan dan undang-undang akhirnya dijadikan krisis politik?
"Pimpinan politik sepatutnya pada masa itu memurni dan mengharmonikan keadaan. Bukannya menajam dan mengambil peluang untuk dipolitikkan," katanya.
Mahfuz berkata keadaan menjadi lebih menghairankan apabila Menteri Besar daripada Umno kini berada di tengah-tengah krisis adat yang sama, malah mendakwa tandatangannya diperoleh secara paksaan.
Beliau turut membandingkan keadaan semasa dengan krisis terdahulu apabila MB daripada PH dipersoalkan Umno kerana enggan menandatangani dokumen yang sama.
"Jadi rakyat berhak bertanya, adakah (Umno tarik sokongan) dahulu benar-benar soal mempertahankan adat dan Perlembagaan, atau krisis adat telah dijadikan tangga untuk perebutan kuasa?" tanyanya.
Sehubungan itu, Mahfuz menyeru semua pihak supaya tidak mempolitikkan adat dan institusi Istana, sebaliknya menyerahkan sebarang pertikaian kepada saluran Perlembagaan dan undang-undang.
Beliau berkata Negeri Sembilan memerlukan kestabilan dan bukan permainan kuasa politik, selain rakyat tidak seharusnya dipaksa menanggung kesan daripada krisis yang dicetuskan ahli politik.
"Dulu krisis adat dijadikan senjata untuk menjatuhkan MB (PH). Hari ini MB (BN) sendiri mendakwa tandatangannya dipaksa. Kalau MB cuma pena, rakyat berhak tahu siapa yang memegang tangannya?
"Rakyat Negeri Sembilan kena cari siapa yang pegang tangan MB dan memaksa MB Negeri Sembilan tandatangan," sinis Mahfuz lagi.




Comments