top of page

Krisis Perlembagaan Negeri Sembilan: Beberapa Persoalan Perlu Dijelaskan

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
56 minutes ago
3 min read

Oleh: Mohd Nasrul Syafiq Rosli


ULASAN: Perkembangan berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sejak kebelakangan ini menimbulkan beberapa persoalan serius dari sudut Perlembagaan dan undang-undang negeri yang perlu diberikan penjelasan secara terbuka.


Pada 17 September 2026, Menteri Besar Negeri Sembilan mengesahkan bahawa anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) telah membincangkan dan membuat keputusan secara sebulat suara berhubung Surat Cara Proklamasi dalam mesyuarat pada 15 September, termasuk mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri meneruskan proses pewartaan.


Tindakan tersebut kemudiannya menimbulkan persoalan mengenai bidang kuasa Exco dalam perkara yang menyentuh kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.


DKU kekalkan Tuanku Muhriz


Dewan Keadilan dan Undang (DKU) menegaskan bahawa Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah. DKU turut merujuk kepada Perkara XVI Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 berkaitan bidang kuasanya dalam perkara adat, termasuk pemilihan, pelantikan, peletakan dan pemecatan Yang di-Pertuan Besar serta Undang.


Lebih penting, Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 17 September menyatakan bahawa proklamasi bertarikh 19 April 2026 adalah tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.


AGC turut menyatakan bahawa Menteri Besar dan Exco tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.


Kerajaan Negeri kemudiannya memaklumkan bahawa proklamasi tersebut tidak akan diwartakan atau dilaksanakan, selaras dengan pendirian AGC.


Pembatalan lantikan Exco


Perkembangan ini menjadi lebih serius apabila pihak Istana pada 20 September mengumumkan pembatalan pelantikan anggota-anggota Exco berkuat kuasa serta-merta selepas mereka didapati telah memungkiri sumpah jawatan.

Mohd Nasrul Syafiq Rosli
Mohd Nasrul Syafiq Rosli

Menurut kenyataan Istana yang dilaporkan Bernama, anggota Exco berkenaan sebelum ini telah berikrar untuk taat setia kepada Yang di-Pertuan Besar dan Institusi Diraja, mempertahankan kedaulatan Perlembagaan Negeri serta mengiktiraf kuasa DKU.


Dalam keadaan ini, beberapa persoalan wajar dijawab.


Siapakah yang mencadangkan supaya Exco menerima dan mempertimbangkan proklamasi tersebut? Apakah asas perundangan yang digunakan oleh Exco ketika membuat keputusan pada 15 September?


Adakah nasihat daripada Penasihat Undang-Undang Negeri atau mana-mana pihak berautoriti telah diperoleh sebelum keputusan tersebut dibuat?


Mengapa arahan untuk meneruskan proses pewartaan dibuat sekiranya terdapat persoalan mengenai bidang kuasa Exco dalam perkara tersebut? Dan yang paling penting, apakah implikasi undang-undang terhadap pihak-pihak yang terlibat sekiranya tindakan tersebut didapati bercanggah dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa?


Putuskan secara undang undang


Persoalan-persoalan ini tidak seharusnya dijawab melalui spekulasi politik atau tuduhan melulu. Ia perlu ditentukan berdasarkan dokumen, minit mesyuarat, nasihat undang-undang, keterangan saksi dan bukti yang berkaitan.


Terdapat juga perbincangan mengenai kemungkinan Seksyen 121 Kanun Keseksaan terpakai dalam isu ini. Namun, perkara tersebut tidak wajar diputuskan melalui pentas politik.


Sebarang kesalahan jenayah perlu dinilai berdasarkan elemen undang-undang dan bukti yang diperlukan. Justeru, sekiranya terdapat asas yang munasabah, pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan secara profesional dan bebas sebelum sebarang kesimpulan dibuat.


Prinsipnya mudah jangan menghukum melalui pentas politik; biarkan undang-undang menentukan berdasarkan bukti. Dalam masa yang sama, isu ini perlu dilihat lebih besar daripada pertarungan politik antara mana-mana pihak.


Institusi Raja bukan alat untuk menyelesaikan perselisihan politik. Begitu juga institusi kerajaan tidak boleh mengambil tindakan di luar bidang kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan dan undang-undang.


Pertahan kedaulatan undang undang


Sebagai sebuah gerakan yang membawa prinsip Reformasi, KEADILAN perlu konsisten mempertahankan kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan tanpa mengira siapa yang berada di tampuk kuasa.


Apabila timbul persoalan mengenai tindakan kerajaan, jawapannya bukan sentimen. Jawapannya ialah Perlembagaan, undang-undang, bukti dan proses yang sah.


Apa yang berlaku di Negeri Sembilan perlu dijelaskan dengan fakta. Rakyat berhak mengetahui bagaimana sesuatu keputusan dibuat, siapa yang terlibat dalam proses tersebut, apakah nasihat undang-undang yang telah diperoleh dan apakah asas kuasa

yang digunakan.


Pada akhirnya, penghormatan terhadap institusi Raja dan keluhuran Perlembagaan bukan sekadar slogan. Ia mesti diterjemahkan melalui tindakan yang mematuhi undang-undang.

Penulis merupakan Ketua Komunikasi KEADILAN Cabang Sri Gading

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page