top of page

Tangguh tahanan rumah pastikan hak Najib terpelihara - ACG

Writer: Redzuan Shamsudin
Redzuan Shamsudin
15 minutes ago
1 min read

Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan pihaknya tidak pernah mempertikaikan atau mengetepikan titah Perintah Pengampunan Bersyarat oleh Yang di-Pertuan Agong kepada Datuk Seri Najib Razak.


Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar menjelaskan bahawa penangguhan sementara terhadap perintah tahanan rumah bekas Perdana Menteri itu terpaksa diambil berikutan wujud kecacatan ketara pada dokumen rasmi kehakiman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi.


Dipetik laporan media beliau berkata, langkah berjaga-jaga itu bertujuan memastikan hak serta kedudukan undang-undang dalam isu Najib terus terpelihara sebelum sebarang langkah susulan dilaksanakan.


"Perkara ini tak patut berlaku jika pihak berkenaan teliti. Kesilapan ini adalah ketara dan menyebabkan timbul masalah yang tak sepatutnya," katanya.


Beliau mengulas beberapa kesilapan teknikal pada dokumen terbabit yang turut dipersoalkan dalam kalangan pengamal undang-undang.


Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat lalu dilaporkan mengeluarkan perintah pelepasan (Order of Discharge on Payment of Fine) susulan bayaran denda RM50 juta yang disyaratkan bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah telah dijelaskan.


Bagaimanapun, penggunaan istilah dan peruntukan undang-undang dalam perintah berkenaan mula dipertikaikan selepas dikesan mengandungi beberapa ketidakselarasan serius.


Antara kelemahan ketara yang dikenal pasti termasuklah penggunaan bahasa bercampur antara Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dalam dokumen yang sama, selain berlakunya kesilapan pada butiran kesalahan serta denda yang dikenakan terhadap beliau.


Akibat kekeliruan teknikal tersebut, AGC menasihatkan agar isu berkenaan diperjelaskan terlebih dahulu, sekali gus menyaksikan Najib kekal ditempatkan di Penjara Kajang buat sementara waktu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page