Krisis N Sembilan: MB Ismail Lasim wajar pertimbang undur diri - Mahfuz


Perkembangan politik di Negeri Sembilan ketika ini mencerminkan krisis kepercayaan yang semakin serius antara kerajaan negeri, institusi raja dan perkhidmatan awam.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, krisis itu tidak lagi boleh dilihat sekadar sebagai perbezaan pandangan antara Kerajaan Negeri dengan institusi raja, sebaliknya memerlukan perhatian serius bagi memastikan pentadbiran negeri terus berjalan dengan baik.
Mengulas tindakan Kerajaan Negeri menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Mahfuz berkata, tindakan itu turut menambah ketegangan antara kepimpinan Kerajaan Negeri dengan institusi perkhidmatan awam.
"Pegawai yang berkata ‘tidak’ apabila undang-undang berkata ‘tidak’, bukan (bertindak) memusuhi Kerajaan (Negeri Sembilan). Mereka sedang menyelamatkan kerajaan daripada tersilap.
"Bagaimana kerajaan hendak berjalan dengan baik apabila dua pihak yang sepatutnya berada dalam satu sistem pentadbiran sudah memberikan pendirian yang bertentangan?.
"Bila kepercayaan runtuh, kerajaan tidak boleh berjalan dengan baik," katanya dalam satu kenyataan.
Menerusi kenyataan sama beliau turut mengingatkan kepada peranan Menteri Besar sebagai jambatan yang menghubungkan institusi raja, perkhidmatan awam dan kerajaan negeri dalam kerangka sistem Raja Berperlembagaan.
Justeru beliau mempersoalkan sama ada Menteri Besar masih mempunyai ruang kepercayaan untuk memainkan peranan tersebut apabila hubungan antara institusi berkenaan dikatakan semakin terhakis.
"Jika beliau merasakan masih mampu memulihkan hubungan tersebut, maka beliau perlu segera membina semula jambatan yang sudah dibakar.
"Tetapi jika kepercayaan sudah terlalu terhakis sehingga hubungan antara kedua-dua institusi tidak lagi dapat dipulihkan di bawah kepimpinannya, maka demi kepentingan Negeri Sembilan, beliau wajar mempertimbangkan pengunduran diri," katanya.




Comments