Krisis minyak: Apakah rakyat perlu tahu berkenaan harga minyak M'sia?
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Oleh: Syam Ghaz
ULASAN: Rakyat Malaysia perlu faham sekiranya perang Amerika Syarikat - Israel ke atas Iran berlarutan selama beberapa bulan ke depan dan Selat Hormuz (dikuasai Iran) yang menjadi laluan utama pengangkutan petroleum dunia masih ditutup, maka kesan domino kemerosotan ekonomi dunia akan berlaku, termasuklah Malaysia.
Rantau Teluk (negara sekitar Selat Hormuz) menghasilkan sekitar 30% hingga 35% bekalan minyak dunia. Negara seperti Arab Saudi, Iran, Iraq, UAE dan Kuwait adalah antara pengeluar petroleum dan gas asli terbesar.
Lebih penting daripada itu ialah Selat Hormuz, laluan sempit ini sahaja membawa hampir 20% perdagangan minyak dunia setiap hari.
Kini kapal tangki tidak dapat mengggunakannya, kecuali kapal China, Rusia dan India yang dibenarkan Iran.
Harga minyak naik sekali ganda
Penanda aras minyak Brent (indeks minyak mentah utama dunia) sebelum perang berada sekitar AS$60 setong. Kini melonjak hampir AS$119 setong dan masih berlegar sekitar AS$100 setong, tidak mustahil naik lagi.

Sebelum konflik Asia Barat, subsidi bahan api untuk rakyat Malaysia sekitar RM700 juta sebulan. Sekarang apabila Kerajaan Malaysia mahu kekalkan harga minyak murah RM1.99/liter maka subsidi Kerajaan makin bertambah. Bagi RON95 sahaja sekitar RM2 bilion dan diesel sekitar RM1.2 bilion. Jumlah keseluruhan subsidi bahan api kini sekitar RM3.2 bilion.
Ini bermakna kerajaan menanggung tambahan hampir RM2.5 bilion untuk melindungi rakyat daripada kenaikan harga minyak dunia.
Negara lain apungkan harga minyak
Rakyat Malaysia kekal bertuah kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu rakyatnya mengisi petrol pada RM1.99 seliter.
Sedangkan banyak negara lain sudah ampungkan harga minyak dan sudah lama melepasi paras RM2 hingga RM10 seliter.
Biarpun Malaysia menghasilkan sekitar 570,000 – 660,000 tong minyak sehari namun secara global negara kita berada sekitar kedudukan ke-29 pengeluar minyak dunia.
Bandingkan dengan negara lain, Arab Saudi ≈ 10 juta tong sehari; Amerika Syarikat ≈ 12 juta tong sehari; atau Iran ≈ 3 juta tong sehari.
Minyak Malaysia kualiti tinggi
Malaysia menghasilkan minyak mentah berkualiti dikenali sebagai Tapis Blend. Ciri minyak ini light crude (ringan), sulfur rendah dan sangat sesuai untuk petrol premium.
Minyak ini antara minyak mentah paling mahal di pasaran dunia. Sebab itu Petronas menjualnya ke negara seperti Jepun, Korea, Australia, Thailand dan sebagainya kerana nilai eksport lebih tinggi.
Anggaran eksport terkini 218,000 tong sehari minyak mentah (pada 2024).
Manakala Malaysia mengimport minyak mentah 442,500 tong sehari pada 2024 untuk kegunaan domestik. Minyak ini datang dari beberapa negara Timur Tengah yang sedang berperang.
Permintaan domestik Malaysia sekitar 934,000 tong sehari pada 2024. Ini lebih tinggi daripada pengeluaran. Sebab itu Malaysia perlu import minyak tambahan.
Rakyat perlu berjimat
Banyak negara mula menaikkan harga minyak susulan krisis di Timur Tengah yang dijangka tidak boleh diselesaikan pada kadar segera. Misalnya Thailand berharga RM5 seliter, Singapura RM9 dan Eropah RM9 – RM11. Ini berlaku kerana kerajaan negara terbabit enggan menanggung subsidi berbilion ringgit.
Namun adakah Kerajaan Malaysia mampu bertahan sehingga berbulan bulan ke depan? Sebaiknya kita sebagai rakyat seharusnya bersedia terhadap sebarang kemungkinan andainya perang berpanjangan dan dunia terjun ke dalam krisis ekonomi.
Memang kerajaan masih menanggung subsidi berbilion ringgit setiap bulan supaya rakyat tidak terkesan sepenuhnya. Namun ini bukanlah keputusan mudah. Ini keputusan untuk melindungi rakyat dan sayang pada rakyat.
Dalam keadaan dunia yang tidak menentu ini, sebaik baiknya kita bersedia. Kurangkan pembaziran. Gunakan tenaga secara berhemah dan bersedialah menghadapi kemungkinan krisis ekonomi global.




Comments