Malaysian Humanitarian Aid & Relief (MAHAR) mengulangi desakan agar gencatan senjata dilakukan untuk rakyat Palestin dan kemasukkan bantuan kemanusiaan di Gaza ketika bedilan tanpa henti rejim Isreal memasuki minggu yang ke-36, demikian menurut penasihat kehormatnya Nurul Izzah Anwar.
Terkini, tragedi kemanusiaan melanda Sekolah Al-Awda di Abasan, berdekatan Khan Younis yang menjadi tempat perlindungan kira-kira 2,000 rakyat Palestin selama sembilan bulan kini musnah akibat ledakan bom Israel hingga mengorbankan lebih 29 mangsa.
"Mereka yang cedera kini mencari perlindungan baru dan rawatan di kem pelarian lain. Pembunuhan kejam terhadap orang awam, khususnya kanak-kanak yang tidak berdosa, adalah tindakan yang melampaui batas kemanusiaan. Ini adalah kegilaan yang tidak dapat diterima oleh mana-mana jiwa yang bertamadun," kata Nurul Izzah dalam kenyataan.
Beliau membidas tindakan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu yang mengelak daripada menandatangani gencatan senjata demi kepentingan peribadi.
Jelasnya genjatan senjata terus dilanjutkan dan serangan demi serangan dilancarkan bagi mencapai matlamat Netanyahu yang masih jauh dari sasaran.
"Netanyahu yang berhadapan dengan tuduhan rasuah di Israel, menggunakan segala helah untuk mencapai persetujuan. Tiga matlamat utama serangan Israel terhadap Gaza adalah untuk menghapuskan Hamas; memusnahkan terowong dan keupayaan Al-Qassam, membebaskan rakyat dan tentera Israel yang ditawan Hamas serta menukar pemerintahan di Gaza," katanya.
"Keangkuhan Netanyahu menunjukkan keyakinan beliau bahawa Israel tidak akan dihukum walau beliau menolak gesaan gencatan senjata yang disyorkan oleh Amerika Syarikat (AS).
"Presiden Joe Biden pula memerlukan gencatan senjata ini demi menyelamatkan kempennya. Ruang untuk AS memberi perlindungan diplomatik kepada Israel juga semakin sempit," jelasnya.
Nurul Izzah berkata setakat hari ini, AS telah memveto empat resolusi antarabangsa – dua resolusi Majlis Keselamatan dan dua resolusi Perhimpunan Agung, yang menuntut gencatan senjata dilaksanakan.
"Kecaman hebat yang dihadapi Biden tidak hanya memberi kesan kepada reputasi AS bahkan turut memberi kesan kepadanya apabila kadar populariti beliau merosot.
"Netanyahu sengaja menangguhkan gencatan senjata demi memperlihatkan kuasa dan membalas dendam atas pengurangan sokongan senjata dari Amerika Syarikat. Netanyahu, dengan sinisnya, terus memanjangkan lagi perang kejam terhadap rakyat Gaza sehingga pemilihan Presiden baru Amerika Syarikat," jelas beliau.
Dalam hal ini kata Nurul Izzah Hamas telah pun bersetuju dengan cadangan gencatan senjata yang ditawarkan oleh Amerika Syarikat, namun kekejaman terus dilanjutkan.
"Israel secara terang-terangan menggunakan kebuluran dan pemindahan paksa sebagai senjata selain dari melanggar segala bentuk asas kemanusiaan keatas orang awam di Gaza.
"Kini, Gaza hampir musnah sepenuhnya dengan 90% bangunannya musnah dan perkhidmatan kesihatan yang hampir lumpuh; laluan bantuan kemanusiaan melalui Rafah ditutup sehingga menyebabkan penduduk Gaza kekurangan makanan dan perubatan.
"Penularan penyakit berjangkit kini menjadi ancaman besar, memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sudah parah selain dari kecederaan fizikal akibat serangan demi serangan dari rejim Zionis," katanya.
留言