Krisis dalaman Bersatu: Petanda parti semakin retak, hilang hala tuju
- Suara Keadilan
- 10 hours ago
- 2 min read

Pemecatan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menyerlahkan kemelut dalaman parti berkenaan.
Menurut Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar, kemelut itu merupakan petanda jelas bahawa Bersatu semakin retak dan kehilangan hala tuju politik.
Menurut beliau, tindakan terbaru Bersatu memecat Ahli Parlimen Tasik Gelugur, Wan Saiful Wan Jan, serta menggantung Ahli Parlimen Machang selama sepenggal selain beberapa ketua bahagian lain, bukan sekadar isu disiplin tetapi lambang pergelutan kuasa dalaman yang semakin sengit.
"Langkah ini bukan sekadar isu disiplin, tetapi mencerminkan pergelutan kuasa yang semakin sengit dalam Bersatu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mahfuz menjelaskan, punca sebenar krisis ini bermula sejak Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu yang lalu, apabila usaha kem tertentu untuk menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai presiden gagal, sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan beberapa pemimpin yang kini lebih cenderung kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
"Tindakan disiplin terkini dilihat sebagai lanjutan kepada dendam politik dan percaturan pengaruh dalaman," ujarnya.
Beliau turut menyifatkan keadaan itu lebih ironis kerana krisis dalaman tersebut memuncak hanya sehari selepas Hamzah Zainudin berbahas di Parlimen menyerang kerajaan dalam perbahasan Belanjawan 2026 bersama Ahli Parlimen Bersatu dan Pas.
"Di luar, mereka berpura-pura seia sekata; di dalam, retak menanti belah.
"Jika urusan parti sendiri pun tidak dapat diselesaikan dengan bijak, bagaimana rakyat mahu percaya bahawa mereka mampu mengurus sebuah kerajaan?" soal Mahfuz.
Katanya, Bersatu kini berada di ambang kehilangan identiti dan sokongan rakyat, manakala Pas semakin menguasai pengaruh akar umbi dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
"Daripada perjuangan rakyat, mereka kini terperangkap dalam perebutan kuasa peribadi," katanya lagi.
Mahfuz menegaskan, sementara Kerajaan Madani menumpukan perhatian kepada usaha memulihkan ekonomi, membasmi rasuah dan meningkatkan kesejahteraan rakyat, Bersatu pula sibuk dengan politik cantas-mencantas yang hanya membinasakan parti sendiri.
"Inilah perbezaan antara politik membina negara dengan politik membinasakan parti sendiri," tegas beliau.