Krisis Asia Barat: Malaysia perinci langkah hadapi impak ekonomi
- Helmi Mohd Foad

- 2 hours ago
- 2 min read

Kerajaan akan memperinci langkah menghadapi impak ekonomi susulan krisis Asia Barat dalam mesyuarat khas Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini, demikian kata Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Ketetapan itu diambil dalam sidang khas MKN dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya semalam yang menumpukan kepada konflik Asia Barat.
"Malaysia harus terus bersiap sedia untuk menghadapi situasi konflik yang berpanjangan yang akan membawa implikasi ekonomi bukan hanya kepada Malaysia, tetapi dunia secara keseluruhannya.
"Kerajaan akan mengambil pendekatan menyeluruh dan terselaras untuk menangani keadaan ini," kata MKN dalam kenyataan dikeluarkan lewat malam tadi.
Antara fokus utama MTEN adalah merangka strategi menangani ketidaktentuan harga minyak, tekanan inflasi serta gangguan rantaian bekalan yang berpotensi memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat dan kestabilan pasaran.
MKN berkata Malaysia mengambil maklum dengan laporan perkembangan terkini yang mengatakan pihak terbabit dalam konflik menghentikan serangan selama lima hari dan mahu ruang itu digunakan untuk mengadakan rundingan secara serius dan ikhlas.
"Perkembangan terbaharu ini telah menyebabkan penyusutan harga minyak antarabangsa," ujarnya.
Menurut kenyataan itu, kerajaan turut memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan dalam negara, termasuk meningkatkan pemantauan terhadap aktiviti penyeludupan bahan api serta memperhebat keupayaan risikan bagi mengelakkan sebarang ancaman berkaitan konflik luar.
Malaysia juga memastikan tahap kesiapsiagaan pasukan pengaman negara (MALBATT) di Lubnan sentiasa berada dalam keadaan optimum selaras dengan perkembangan semasa di rantau berkenaan.
Di peringkat antarabangsa, Malaysia kekal proaktif dalam usaha diplomatik apabila Perdana Menteri bersama Menteri Luar dan agensi keselamatan mengadakan libat urus dengan rakan sejawat dari New Zealand, Jepun, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu bagi menyokong usaha meredakan ketegangan.
"Kerajaan akan sentiasa mengambil pendekatan proaktif untuk memastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara dan kebajikan rakyat sentiasa terbela sewaktu keadaan mencabar ini," kata MKN lagi.




Comments