KPM teliti merit kokurikulum sekolah penjara untuk ke universiti
- Suara Keadilan

- 15 hours ago
- 1 min read

Kementerian Pendidikan (KPM) sedia meneliti pemberian merit kokurikulum dan sukan kepada pelajar di institusi penjara bagi tujuan kemasukan ke universiti.
Langkah itu untuk memastikan pelajar berkenaan mempunyai peluang meneruskan pendidikan ke peringkat lebih tinggi selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan keluar dari institusi berkenaan.
"Kita (KPM) akan tengok markah penglibatan dalam kokurikulum untuk dipertimbangkan supaya selepas anak-anak selesai SPM, merit itu boleh bantu mereka menyambung pengajian ke peringkat seterusnya," kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (gambar) dipetik laporan media.
Beliau berkata begitu dalam ucapan Majlis Penutupan Program Hijrah Kasih ke-17 KPM dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia di Dewan Kelab Penjara Kajang pada Khamis.
Sementara itu menurut Fadhlina, KPM dan bahagian TVET akan berbincang untuk menyalurkan sijil kemahiran rasmi kepada pelajar yang menjalani latihan di institusi penjara.
"Perkara-perkara inilah yang kita hendak dengar maklum balas, buat tindakan supaya apabila kita sebut tentang hijrah, ia benar-benar ada perubahan berlaku dan disambut dengan sokongan termasuk daripada KPM," tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Fadhlina memaklumkan pelajar sekolah dalam penjara mencatatkan kelulusan SPM 100 peratus bagi dua tahun berturut-turut, sekali gus membuktikan tempat bukan penghalang untuk mereka mencapai kejayaan dalam pendidikan.




Comments