Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu catat kes dadah lepasi ambang nasional


Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu dikenal pasti sebagai empat negeri yang mencatat kadar penglibatan dadah melepasi ambang nasional berdasarkan data daripada sumber rasmi.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penilaian itu dibuat berdasarkan kadar kes bagi setiap 100,000 penduduk, selaras dengan kaedah pengukuran yang digunakan oleh United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC).
Menurutnya, daerah Pendang di Kedah mencatat kadar penglibatan dadah tertinggi di negara ini, diikuti Kuala Krai di Kelantan.
"Daerah yang paling tinggi di Malaysia ialah Pendang, diikuti Kuala Krai yang kedua. Kemudian termasuklah Tumpat, Tanah Merah, Bachok, Besut.
"Itu daerah-daerah yang melebihi, kalau per 100,000 penduduk melebihi seribu per 100,000, maksudnya kita anggap sebagai kritikal," katanya dalam sidang media Menteri Dalam Negeri sempena Program Kampung Angkat dan Sekolah Angkat Madani, Kementerian Dalam Negeri di Machang, Kelantan., hari ini
Saifuddin berkata, data berkenaan diperoleh daripada empat sumber berautoriti, iaitu data narkotik, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pusat pemulihan dalam institusi (PUSPEN) di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta PUSPEN swasta.
Beliau berkata, hasil pemprofilan data mendapati golongan berusia 15 hingga 39 tahun merupakan kumpulan terbesar yang terlibat dengan dadah.
"Umur 15 hingga 39, paling ramai. Bagi setiap 10 yang terlibat, lapan dalam julat umur ini," katanya.
Menurutnya, golongan tidak bekerja turut mendominasi kumpulan berkenaan, manakala corak pengambilan dadah menunjukkan dadah sintetik banyak digunakan di Pantai Timur berbanding corak campuran di Pantai Barat.
Sehubungan itu, beliau mahu program pendidikan, kesedaran dan pencegahan dipergiatkan menerusi pendekatan turun padang atau outreach, khususnya di daerah yang dikenal pasti berisiko tinggi.
Katanya, usaha itu perlu dilaksanakan secara bersama oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), AADK, polis dan kerajaan negeri menerusi pemetaan berdasarkan data rasmi.
Saifuddin berkata, pendekatan berkenaan turut mendapat sokongan institusi diraja, termasuk Raja Muda Kedah yang menyambut baik usaha pendidikan masyarakat menerusi program bersama pihak berkepentingan di negeri itu.
Di Pahang pula, katanya, program kesedaran dan penguatkuasaan digerakkan di setiap daerah dengan penglibatan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, termasuk program penutup di kawasan Felda dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari, Bentong.
Dalam aspek keselamatan sempadan, Saifuddin berkata, polis Kelantan diarahkan memastikan kawalan di semua laluan sempadan dilaksanakan sepanjang masa, termasuk tindakan memusnahkan jeti haram dan penguatkuasaan undang-undang imigresen terhadap aktiviti rentas sempadan tanpa dokumen.
Bagaimanapun, beliau mengakui usaha itu tidak mampu menghapuskan sepenuhnya kegiatan penyeludupan dadah yang sudah berakar umbi sejak sekian lama.
"Apakah dia mampu menyekat sepenuhnya? Jawapannya tidak. Sebab ini adalah kita berdepan dengan jenayah terancang yang sudah bertapak berdekad-dekad.
"Jadi tindakan kita boleh membantu mengurangkan, menghapuskan tidak sama sekali. Dan itu di pihak tanggungjawab KDN dan polis. Tentunya itu tidak memadai kerana ini harus dipikul sebagai tanggungjawab bersama," katanya.
Beliau menegaskan AADK mempunyai tiga fungsi utama, iaitu pendidikan dan pencegahan, penguatkuasaan serta pemulihan menerusi pusat pemulihan yang disediakan.
Katanya, usaha mendidik masyarakat, khususnya ibu bapa, perlu diperkukuh bagi meningkatkan kesedaran mengenai bahaya dadah dan mencegah penglibatan golongan muda.
"Saya boleh sebut angkanya, bilangan dan sebagainya, tapi saya tak mahu terlalu obses dengan bilangan sedangkan saya tengok hasil akhirnya masih lagi menunjukkan bahawa apa yang diusahakan AADK itu belum lagi mencukupi, terutama penglibatan kes," katanya.
Saifuddin turut memberi amaran mengenai kesan dadah sintetik baharu yang dikaitkan dengan perubahan tingkah laku pengguna serta beberapa kes keganasan.
Beliau berkata, isu berkenaan memerlukan tindakan menyeluruh yang bukan sahaja menumpukan penguatkuasaan, tetapi turut merangkumi pendidikan, pencegahan dan pemulihan bagi membendung masalah dadah daripada terus menjejaskan masyarakat.




Comments