Ziarah MADANI: Farzana sumbang wang tunai kepada Pn Jariah


Keprihatinan terhadap golongan memerlukan diteruskan menerusi program Ziarah MADANI apabila Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Melaka, Farzana Hayani Mohd Nasir, mengunjungi Pn Jariah yang tinggal berseorangan di rumahnya di kampung Sebarang Gajah, Bukit Rambai.
Menerusi kunjungan itu, sumbangan wang dan kotak makanan disampaikan bagi membantu meringankan beban Pn Jariah dalam menjalani kehidupan seharian.
Farzana berkata, beliau tersentuh melihat reaksi Jariah yang menitiskan air mata sebaik sahaja rombongan mereka tiba di kediaman wanita berkenaan.
"Sebak hati melihat air mata Pn Jariah mengalir sebaik sahaja kami tiba. Kadang-kadang, kehadiran kita mungkin nampak kecil, tetapi besar maknanya buat mereka yang sedang melalui kesukaran," katanya dalam hantaran di media sosial.
Beliau berharap sumbangan yang disampaikan dapat membantu meringankan beban Jariah, meskipun nilainya tidak seberapa.
Farzana turut mendoakan agar wanita itu terus tabah menghadapi kehidupan, sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT dan dipermudahkan segala urusan.
"Nana doakan semoga Pn Jariah terus kuat, sentiasa dalam lindungan-Nya dan dipermudahkan segala urusan. Insya-Allah," katanya lagi.




Comments