KPM telah perkukuh aspek keselamatan sekolah sebelum kejadian - Fadhlina


Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan isu keselamatan sekolah bukan perkara yang hanya diberi perhatian selepas kejadian di Yong Peng, Johor sebaliknya pelbagai langkah memperkukuh keselamatan institusi pendidikan telah dilaksanakan sebelum insiden berkenaan berlaku.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, langkah berkenaan termasuk penubuhan Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan dan pelaksanaan beberapa langkah tambahan bagi meningkatkan keselamatan dan menangani isu disiplin murid.
Beliau berkata, perkara yang berada di bawah tanggungjawab KPM termasuk keselamatan sekolah, kawalan keluar masuk, rondaan, kamera litar tertutup (CCTV), pematuhan prosedur operasi standard (SOP), disiplin serta sokongan psikososial akan terus diperiksa dan ditambah baik sekiranya terdapat ketidakpatuhan atau kecuaian.
"Ini bukan langkah yang diwujudkan semalam (iaitu) selepas kejadian ini berlaku, tetapi saya tidak mahu kita berpuas hati hanya kerana kita sudah mempunyai jawatankuasa SOP atau senarai langkah.
"Persoalannya adakah benar langkah-langkah ini benar-benar sampai dan dilaksanakan di sekolah? Langkah keselamatan (sebenarnya) sudah dimulakan sebelum kejadian di Yong Peng," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen mengulas isu berkenaan.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, pihaknya telah menggerakkan pasukan sokongan psikososial bagi membantu keluarga mangsa, rakan-rakan, murid serta warga sekolah yang terkesan susulan kematian pelajar Tingkatan Empat berkenaan.
Katanya, pegawai psikologi dan kaunselor akan terus memberikan sokongan kepada mereka mengikut keperluan, kerana kesan daripada kejadian seperti itu tidak berakhir apabila perhatian media mula reda.
"Saya juga telah mengarahkan agar aspek pengurusan dan keselamatan di sekolah berkenaan di periksa secara menyeluruh.
"Ini termasuk kawalan keluar masuk, rondaan, CCTV, pematuhan SOP keselamatan dan pelaksanaan tugas syarikat kawalan keselamatan pada hari kejadian.
"Syarikat kawalan keselamatan yang dilantik KPM mempunyai skop kerja dan obligasi kontrak yang jelas termasuk kawalan keluar masuk, rondaan di kawasan yang ditetapkan serta pematuhan kepada jadual dan tugasan.
"Bagi syarikat keselamatan sekolah ini, semakan sedang dibuat terhadap rekod rondaan dan pelaksanaan tugas pada hari kejadian.
"Sekiranya terdapat pelanggaran terhadap skop kontrak, tindakan boleh diambil berdasarkan terma yang ditetapkan termasuk notis ketidakpatuhan, tindakan kewangan dan penamatan kontrak sekiranya syaratnya dipenuhi," katanya lagi.
Dalam pada itu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal menjelaskan bahawa siasatan jenayah merupakan tanggungjawab Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala KPM tidak boleh menentukan seseorang itu bersalah atau mendahului proses pendakwaan.
Ujarnya, KPM juga tidak boleh menjatuhkan hukuman di luar proses undang-undang, namun pihaknya tidak akan menunggu untuk mengambil tindakan terhadap perkara yang berada di bawah bidang kuasa dan tanggungjawab kementerian itu.
Kelmarin, Allahyarhamah Irene Sofiya ditemukan dalam keadaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di sebuah sekolah menengah di Yong Peng.
Mangsa disyaki dibunuh selepas terdapat beberapa kecederaan ditemukan pada pada badannya.
Susulan itu, rakan sekelas Irene Sofiya iaitu pelajar lelaki berusia 16 tahun ditahan dan direman enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.




Comments