top of page

KPM pindahkan Pengetua, warden susulan Bukit Aman ambil alih kes Zara

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 13
  • 2 min read

ree

Oleh: Helmi Foad


Kes kematian tragis Zara Qairina terus memasuki babak baharu apabila Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan semua warden SMKA Tun Datu Mustapha ditempatkan sementara di pejabat Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.


Langkah itu susulan siasatan rapi kes kematian pelajar itu yang kini diambil alih Pasukan Petugas Khas Bukit Aman selepas Jabatan Peguam Negara mengarahkan bedah siasat dilakukan ke atas jenazahnya yang sebelum ini terpaksa digali semula.


"Keputusan ini diambil bagi memastikan siasatan dapat dilaksanakan secara menyeluruh, teliti dan tuntas," menurut kenyataan itu.


Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata Polis Bukit Aman mengambil alih siasatan kes selepas selesai proses bedah siasatan terhadap jenazah Zara.


Bedah siasat itu dilaksanakan bagi mendapatkan gambaran jelas punca kematian pelajar berkenaan yang sebelum ini dilapor terlibat dalam satu insiden buli di sekolahnya.


Menurut KPM pihaknya memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa demi memastikan semua aspek siasatan diambil kira.


"Sebagaimana yang telah ditegaskan, kes tersebut merupakan keutamaan KPM pada masa ini.


"KPM berharap siasatan telus dan sepenuhnya dapat dilaksanakan demi keadilan buat keluarga serta semua pihak terlibat," jelas kenyataan itu hari ini.


Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu di SMKA Tun Datu Mustapha, dilapor meninggal dunia baru-baru ini selepas mengalami kecederaan yang dikaitkan dengan perbuatan buli.


Zara dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, sehari selepas ditemui pengsan di kawasan longkang berhampiran asramanya sehari sebelum itu.


Jabatan Peguam Negara mengarahkan post-mortem ke atas jenazah Zara yang telah dikebumikan bagi melengkapkan siasatan.


Mengikut laporan media, proses penggalian kubur Zara berlangsung pada 6 Ogos 2025, manakala bedah siasat dijalankan pada hari yang sama di Hospital Queen Elizabeth I.


Peguam keluarga Zara yang memantau proses bedah siasat dilaporkan berkata, penemuan awal mendapati terdapat kecederaan pada tubuh mangsa namun enggan mengulas lanjut.


Kes itu mencetuskan perhatian umum seluruh negara dengan orang ramai menggesa agar siasatan dijalankan secara adil dan menyeluruh.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page