KPM perkasa kesejahteraan mental, emosi murid sekolah
- Suara Keadilan

- 1 day ago
- 1 min read

Agenda Sekolah Selamat, Minda Sihat, Insan Sejahtera akan diperkukuh selaras Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035.
Menurut Kementerian Pendidikan, ia bagi memastikan persekitaran sekolah lebih selamat, kondusif dan menyokong kesejahteraan murid secara menyeluruh.
Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, KPM, Mohd Hanafi Samad berkata, ia dilaksana menerusi Program Minda Sihat merangkumi lima fokus utama, termasuk kempen kesedaran, saringan dan intervensi, konsultasi bersama ibu bapa serta kerjasama dengan pelbagai pihak.
"Kita ada saringan Minda Sihat yang penting sebagai langkah pencegahan dan pengesanan awal bagi mengenal pasti murid yang memerlukan perhatian serta sokongan," katanya dipetik laporan media.
Selain itu menurutnya, dalam usaha memperkukuh kesejahteraan emosi pelajar, KPM terus memperkukuh bekerjasama dengan agensi luar seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Dalam pada itu tegasnya, penglibatan ibu bapa juga amat penting kerana murid tidak berada di sekolah sepanjang masa.
"Murid yang mempunyai emosi dan minda yang sihat lebih berupaya menghadapi cabaran, membina hubungan sosial yang baik serta mengikuti proses pembelajaran dengan lebih berkesan.
"Kita mahu menyatupadukan dan menggerakkan semua pihak agar kita sama-sama faham bahawa ini adalah untuk melahirkan generasi yang terbaik pada masa akan datang," tambahnya.




Comments