top of page

KPM gerak sokongan psikososial bantu warga sekolah

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • 9 minutes ago
  • 1 min read

Segala bentuk ikhtiar bagi memastikan sokongan psikososial kepada warga sekolah berada pada tahap sebaiknya digerakkan susulan insiden kematian seorang guru wanita di Selangor, baru-baru ini.


Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (gambar) berkata, kementerian sentiasa mengambil berat aspek kesihatan mental warga pendidikan menerusi kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kementerian Kesihatan (KKM) dan kaunselor.


Malah beliau secara peribadi mengambil maklum kegusaran dalam kalangan warga pendidik serta masyarakat berhubung kejadian tersebut memandangkan beliau memulakan perjalanan dalam politik sebagai seorang aktivis kesihatan mental.

"Masih banyak yang perlu kita lakukan dan kita akan terus melakukannya bersama-sama. Buat semua cikgu yang saya sayangi, ketahuilah bahawa anda tidak bersendirian," katanya dalam hantaran di Facebook.


Pada Khamis, seorang guru wanita ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dipercayai menggantung diri di sebuah sekolah di daerah Hulu Selangor.


Mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan.


Fadhlina sementara itu merayu semua pihak menghormati privasi keluarga mangsa, mengelakkan sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan secara teliti bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.


Dalam masa sama beliau mengajak guru meluangkan masa untuk bertanya khabar, mendengar dan memastikan rakan sekerja berada dalam keadaan yang baik.


"Kadang kala, satu pertanyaan ikhlas mampu memberi kekuatan yang sangat besar," katanya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page