KPM daftar persekolahan lima beradik tiada dokumen pengenalan
- Azuan Ab Rahman

- 3 hours ago
- 1 min read

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited memastikan tiada anak warganegara tercicir daripada sistem pendidikan, termasuk lima beradik yang sebelum ini tular kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, proses pendaftaran persekolahan kanak-kanak berusia antara empat hingga 11 tahun itu kini berjalan lancar dan mereka sudah dapat bersekolah seperti kanak-kanak lain.
"Saya hadir ke Sekolah Kebangsaan Petaling 1 bagi menyantuni lima beradik yang kisah mereka tular baru-baru ini kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
"Tindakan proaktif Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah memastikan isu berbangkit diselesaikan segera dan anak-anak warganegara ini memperoleh dokumen pengenalan diri masing-masing," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sebelum ini, tular video seorang aktivis sosial memaparkan kedaifan keluarga Noorsyuhada Mohamad, 33, bersama tujuh anaknya yang tidak mempunyai dokumen lengkap.
Susulan itu, JPN Selangor segera turun padang bagi memulakan proses verifikasi dokumen serta pengesahan dengan pihak hospital.
Pada 12 Februari lalu, kelima-lima beradik berkenaan menerima sijil kelahiran dan MyKid yang diserahkan sendiri oleh Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail di Pangsapuri Rima Riang.
Langkah pantas pelbagai agensi itu sekali gus memastikan hak pendidikan anak-anak terbabit terus terpelihara.




Comments