KPM cadang tambah pembantu warden, guru kaunseling di asrama


Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti keperluan menambah bilangan pembantu warden serta guru bimbingan dan kaunseling di sekolah berasrama.
Menteri KPM, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata langkah itu bukan sekadar memperkukuh kebajikan serta pemantauan pelajar di sekolah berasrama, sebaliknya memastikan perhatian, sokongan emosi dan bimbingan lebih menyeluruh kepada pelajar sepanjang tinggal berjauhan daripada keluarga.
"Di peringkat kementerian, kita turut meneliti keperluan menambah pembantu warden serta guru bimbingan dan kaunseling supaya anak-anak mendapat perhatian dan bimbingan yang lebih baik sepanjang berada di asrama," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Hantaran itu menyusul pertemuan dan perbincangan bersama pihak polis mengenai keselamatan dan kesejahteraan anak-anak di sekolah berasrama.
Mengulas mengenai pertemuan di Kuala Kangsar itu beliau berkata, ia antara lain membincangkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), pengurusan asrama serta kepentingan ibu bapa menilai kesediaan emosi anak-anak sebelum menghantar mereka ke sekolah berasrama penuh (SBP).
Menerusi hantaran sama beliau turut berkata, walaupun ibu bapa mengimpikan anak-anak berdikari dan membina keyakinan diri di asrama, keupayaan setiap pelajar untuk menyesuaikan diri serta menghadapi persaingan akademik adalah berbeza.
Justeru, ibu bapa dinasihatkan agar tidak terlalu bimbang sekiranya anak tidak berpeluang memasuki sekolah impian, sebaliknya sentiasa menyediakan ruang untuk mereka bercerita tanpa rasa dihakimi.




Comments