KPM arah tangguh aktiviti luar jika suhu lebih 35°C
- Azuan Ab Rahman
- 6 hours ago
- 1 min read

Kementerian Pendidikan (KPM) meminta supaya sekolah menangguhkan penganjuran aktiviti luar sekiranya suhu melebihi 35 darjah Celcius.
Menerusi kenyataan, KPM menekankan bahawa semua institusi pendidikan perlu peka terhadap situasi semasa fenomena cuaca panas di kawasan masing-masing serta mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan dari semasa ke semasa.
Selain itu, semua institusi pendidikan di bawahnya digesa meningkatkan persediaan dan melaksanakan langkah sewajarnya bagi menghadapi cuaca panas apabila sekolah kembali dibuka pada Ahad dan Isnin ini.
Pengurusan sekolah turut diminta memantau semua aktiviti yang berpotensi mendedahkan murid kepada cuaca panas dan dan bekerjasama dengan klinik serta hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi kesihatan dalam kalangan murid akibat cuaca panas.
"Institusi pendidikan juga perlu memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi serta menggalakkan murid mengambil air minuman dalam kuantiti yang sesuai bagi mengawal suhu badan," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan sama, pengurusan sekolah boleh mempertimbangkan kebenaran khas kepada murid, guru serta anggota kumpulan pelaksana untuk mengenakan pakaian sukan yang sopan ketika cuaca panas, tertakluk kepada keperluan dan situasi semasa di institusi masing-masing.
Berdasarkan kalendar akademik, cuti penggal Kumpulan A membabitkan Kedah, Kelantan dan Terengganu akan berakhir pada 28 Mac.
Sementara Kumpulan B merangkumi Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya berakhir pada 29 Mac.
