'Kopilih Harapan' dekati Gen Z menerusi dialog santai, nikmati kopi


Pendekatan baharu menerusi dialog santai sambil menikmati kopi diperkenalkan melalui inisiatif Kopilih Harapan bagi mendekati golongan muda, khususnya Generasi Z (Gen Z), serta membuka ruang perbincangan mengenai isu semasa dan masa depan mereka.
Timbalan Pengarah Komunikasi KEADILAN, Jonathan Vela berkata, program berkenaan diterajui Setiausaha Sekretariat JPPH, Saifuddin Shafi yang juga Pengarah Program Kopilih Harapan.
Menurutnya, inisiatif itu bertujuan mewujudkan ruang komunikasi dua hala antara pemimpin dan masyarakat, khususnya anak muda, melalui pendekatan lebih santai, terbuka dan dekat dengan gaya hidup generasi berkenaan.
"Kopilih Harapan diperkenalkan sebagai satu inisiatif mendekati generasi muda melalui pendekatan yang lebih santai, terbuka dan dekat dengan gaya hidup masyarakat, khususnya golongan Generasi Z (Gen Z)," katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan Melaka di Kompleks Perniagaan Musai Jaya, Bukit Piatu pagi ini.
Beliau berkata, konsep berkenaan berbeza daripada pendekatan ceramah politik konvensional kerana mengetengahkan perbualan santai sambil menikmati kopi sebagai medium pertukaran pandangan secara lebih terbuka dan inklusif.
Menerusi inisiatif itu, Kopilih Harapan akan menjelajah ke beberapa lokasi tumpuan anak muda sekitar Melaka dengan kerjasama peniaga kopi tempatan.
Menurut Jonathan, pendekatan tersebut bukan sahaja membuka ruang dialog bersama masyarakat, malah turut memberi sokongan kepada usahawan kecil dan industri kopi tempatan.
Antara isu utama yang akan diberi perhatian dalam perbincangan termasuk peluang pekerjaan, kos sara hidup, pendidikan, ekonomi serta hala tuju masa depan generasi muda.
Katanya, suara anak muda perlu diberikan perhatian dan ruang sewajarnya, terutama dalam perbincangan berkaitan dasar serta pembangunan negara.
"Kopilih Harapan turut menekankan bahawa suara generasi muda perlu diberi perhatian dan ruang sewajarnya dalam perbincangan mengenai dasar serta pembangunan negara," ujarnya.
Beliau berharap inisiatif itu dapat menggalakkan lebih ramai anak muda tampil berkongsi pandangan, mengemukakan persoalan dan terlibat secara aktif dalam perbincangan yang membina.
Pendekatan berkenaan juga dilihat sebagai usaha memperkukuh hubungan antara kepimpinan dan generasi muda melalui komunikasi yang lebih terbuka, tanpa terikat dengan format program politik konvensional.




Comments